Mounth Stong International Climbathon merupakan acara yang diadakan saban tahun di Lokasi Perlancongan Gunung Stong Dabong. Memandangkan lokasi perlancongan Air Terjun Gunung Stong semakin terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa, Mounth Stong International Climbathon 2016 telah mendapat menyertaan sebanyak 400 orang peserta dari seluruh pelusuk dunia. Ini merupakan penyertaan terbanyak sepanjang program ini dijalankan. Terdapat beberapa kategori di buka kepada peserta antaranya:

  1. International Men's Open
  2. International Women's Open
  3. Malaysian Men's Open
  4. Malaysian Women's Open
  5. Malaysian Men's Teen
  6. Malaysian Women's Teen
  7. Malaysian Men's Senior
  8. Malaysian Women's Senior
  9. Kelantanese men
  10. Kelantanese Women

 Untuk gambar sekitar acara tersebut sila rujuk ke galeri foto.

Gunung Stong

Gunung Stong terletak di Hutan Simpan Taman Negeri Kelantan dalam Daerah Krai pada ketinggian 1,422 meter. Terdapat juga gunung-gunung lain di sekitarnya seperti Gunung Ayam, Gunung Tera, Gunung Saji, Gunung Koh, Gunung Baha, Gunung Beirut dan Gunung Che Tahir. Hutan Simpan Taman Negeri terbentang luas meliputi keluasan 61,734 hektar.

Pendakian bermula dari Stong Hill Resort ke Base Camp pertama iaitu Baha's Camp yang memakan masa selama 2 jam.

Di Baha's Camp disediakan chalet yang diperbuat dari bahan-bahan hutan seperti buluh dan tapak perkhemahan. Di sini terletaknya Air Terjun Jelawang yang dikatakan yang tertinggi di Asia Tenggara. Ia juga dipanggil Air Terjun Stong.

Dengan hanya melangkah dalam beberapa minit dari Baha's Camp, anda berada di Kolam Tuan Puteri. Mengikut cerita yang menjadi lagenda, pada suatu masa dahulu terdapat tujuh orang puteri mandi-manda di sini. Dengan berjalan selama 25 minit dari Baha's Camp, anda akan tiba ke Telaga Tujuh. Terdapat juga beberapa tempat menarik berhampiran dengan Baha's Camp yang boleh dikunjungi seperti Gua Bogor dan Gunung Ayam. Gunung Ayam merupakan puncak tertinggi di sini pada ketinggian 1,504 meter.

Kebiasaannya, pengunjung akan bermalam di Baha's Camp sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Stong. Perjalanan Ke puncak dari Baha's Camp memakan masa selama satu setengah jam. Setibanya di puncak Gunung Stong, kedatangan anda bagaikan disambut oleh bongkah batu besar. Gunung Stong mendapat namanya dari bongkah batu besar ini. "Stong" berasal dari perkataan Inggeris yang bermaksud "stone", kemudiannya bertukar menjadi "stong' mengikut slanga penduduk setempat. Dari Dabong, perkhidmatan teksi persendirian mudah diperolehi untuk ke Gunung Stong kira-kira 15 minit perjalanan. Dari Kota Bharu, bas ekspres Transnasional No.8 beroperasi 4 perjalanan sehari ke Gua Musang dan anda boleh mendapatkan teksi ke Gunung Stong kira-kira 1 jam masa perjalanan.

 

Gua Ikan

       

Salah satu tempat yang menarik di Daerah Dabong dan lokasi pelancongan yang terdekat dengan Kampung Kuala Geris salah satunya ialah Gua Ikan, yang hanya terletak kira-kira 10 km dari Kuala Geris. Nama Gua Ikan diperolehi ekoran daripada terdapatnya batu yang kelihatan seperti ikan. Dipercayai, terdapat peninggalan harta karun yang disembunyikan oleh pihak tentera Jepun yang masih tidak dijumpai sehingga kini. Taman Rekreasi  Gua Ikan merupakan  tarikan pelancong alam semula jadi yang terkenal di Dabong.

Terdapat gua-gua yang menarik di dalam Bukit Batu Kapur yang direntangi oleh anak sungai yang mengalir jernih. Terdapat juga kawasan lapang yang luas untuk perkhemahan dan berekreasi. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di kawasan ini ialah menikmati keindahan flora dan fauna, mandi-manda, pendakian bukit, perkhemahan dan perkelahan. Terdapat beberapa buah gua yang menarik di sekitar Gua Ikan iaitu Gua Keris, Gua Batu Susun dan Gua Pagar. Banyak kemudahan disediakan di Gua Ikan seperti surau, taman rekreasi, tandas dan sebagainya.