Monday, June 16, 2008

Cinta Baru Elly Mazlein

JIKA dibelek sejarah pembabitannya dalam bidang seni, agak jelas Elly Mazlein bolehlah dianggap bukan orang baru. Kira-kira 11 tahun lalu, si pemilik bermata galak dan dianggap memiliki bibir cantik ini, mula menempa nama sebagai penyanyi sehingga beberapa album dihasilkan.
Bagaimanapun, sejak membabitkan diri dalam bidang lakonan lima tahun dahulu, Elly yang kini usianya mencecah 27 tahun, mengakui sudah mula jatuh cinta dengan dunia lakonan. Namun, dunia nyanyian tidak sesekali dilupakan terus kerana dia masih memenuhi undangan persembahan makan malam dan korporat. Biarpun dibuai kerinduan teramat sangat untuk muncul dengan album terbaru, kata Elly, kala ini lakonan menjadi keutamaan.
Gara-gara berlakon telenovela seperti Spa Q, Bella dan terbaru, Amanah Karmila, anak bongsu daripada tiga beradik ini mula dibeli gelaran sebagai ratu telenovela. Rezekinya semakin murah sehingga banyak tawaran berlakon diterimanya. Menurut Elly, jika diberi peranan utama dalam sesebuah drama, dia terpaksa mengorbankan tawaran lain kerana tidak mahu memeningkan diri sendiri sehingga menyusahkan orang lain. “Jadual Elly sekarang memang padat sampai September sehingga Elly terpaksa menapis beberapa tawaran bimbang memberi bebanan buat diri sendiri dan pihak produksi. Untuk memastikan kewujudan di persada seni, Elly sentiasa mengingati pesan abah dan mama supaya jangan tamak. Untuk itu, Elly harus mensyukuri nikmat dan rezeki yang datang serta mengekalkan kepercayaan pihak produksi. “Elly harus menghela nafas lega kerana kebelakangan ini peminat dan penerbit sudah mula nampak bakat lakonan Elly kerana sudah lama Elly menantikan saat ini. Elly juga sudah mula diberi kepercayaan memegang watak utama, tetapi Elly tidak boleh terus berpuas hati dengan apa yang ada. Pastinya Elly akan terus melakukan yang terbaik pada masa mendatang. Apa jua gelaran yang orang berikan, Elly jadikannya sebagai motivasi dan semangat.

No comments: