Pages

Tuesday 23 January 2018

Adakah Dabai dan Kembayau buah yang sama?



Dabai

Dabai atau dabei adalah nama yang tidak asing untuk penduduk di Sarawak. Lokasi penanaman popular buah ini terdapat di sekitar kawasan tengah Sarawak seperti Sibu dan Kapit. Ia merupakan makanan kegemaran rakyat Sarawak yang bermusim. Jika belum waktunya, buah dabai boleh dijual sehingga mencecah 50 ringgit sekilogram.

Dabai adalah sejenis buah hutan bermusim seakan-akan buah zaitun. Ia akan berwarna kehitaman apabila siap sedia untuk dituai. Dabai atau nama saintifiknya 'Canarium odontophyllum' tergolong dalam keluarga "burseraceae" banyak terdapat di Kepulauan Borneo, Sumatera & Palawan.



Pokok Dabai boleh tumbuh sehingga mencecah ketinggian lebih  21 meter. Ia bersifat 'dioecious' dan mempunyai perbezaan jantina. Pokok jantan mempunyai bunga yang lebih kecil dan jarang berbuah. Jika berbuah sekalipun, kebanyakan buahnya kecil. Namun bagi pokok betina pula, bunganya lebih banyak dan besar. Buahnya pula lebih lebat.

Pada usia muda, buah ini berwarna keputih-putihan dan akan bertukar menjadi ungu kehitaman apabila sudah cukup masak. Apabila sudah sampai masa untuk dipetik, kulit buah dabai kelihatan hitam dan licin manakala isinya pula kelihatan berwarna kuning. Namun apabila anda melihat kulitnya mula mengerutu dan tidak licin dan isinya pula bertukar ke warna ungu itu tandanya buah ini telah lama.

Buah ini tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana ia perlu di rendam ke dalam air suam kuku selama beberapa minit. Anda boleh rasakan dengan jari sekiranya ia sudah lembut bermakna ia telah sedia untuk dimakan. Isinya rasa lemak dan Ia lebih enak jika di gaul bersama garam secukup rasa atau dicicah bersama kicap pekat manis.


Ia mengandungi kandungan zat berkhasiat seperti protein, potasium dan juga membekalkan tenaga. Bijinya keras, bujur, bersegi dan isi bijinya juga boleh dimakan setelah direbus dan dibelah.


Kembayau



Kembayau atau Kemayau juga adalah buah bermusim yang menyerupai dabai. Ia turut dikenali dengan nama lain iaitu Keramu atau Kramoh. Namun buah ini tidaklah sepopular Dabai. Kembayau banyak terdapat di bahagian utara Sarawak iaitu di Miri terutama di sekitar Bakong, Bukit Peninjau dan Bekenu.

Buah Kembayau atau nama saintifiknya 'Cacryodes rostrata forma cuspidata (Blume)' merupakan saudara terdekat pokok Dabai. Ia tergolong dalam keluarga yang sama iaitu Burseraceae. Pokoknya boleh tumbuh sehingga mencecah ketinggian melebihi 26 meter.

Cara hidangannya pula sama seperti Dabai, iaitu dengan merendamkan kembayau ke dalam air suam, dilumurkan dengan garam dan dimakan bersama nasi atau makan begitu sahaja.

Perbezaan Tekstur kulit serta rasanya berlainan dengan buah Dabai. Rasa sedikit masam dan manis serta isinya agak berbeza dengan dabai. Bijinya berbentuk bujur, licin, lembut dan tidak bersegi seperti biji Dabai. Untuk yang gemar mengopek isi dalam biji dabai, isi di dalam biji Kembayau  rasanya  memang berbeza dan kurang enak. - OhKitakOrangSarawak.

Beza Dabai dan Kembayau

--
Comments
0 Comments
--

No comments:

Post a Comment