Daulat Tuanku

Sejarah negara telah tercatat sejak berkurun yang lalu; dan bukannya baru bermula pada tahun 1957. Daripada dahulu lagi, tanah ini adalah tanah berdaulat dan bertuan. Sejak zaman kerajaan Srivijaya, kerajaan Kedah Tua, Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor-Riau dan sehingga kini, Tanah Melayu kekal diperintah oleh Baginda Raja-raja Melayu sebagai Raja yang berdaulat.

Walaupun kini sistem pemerintahan negara telah berubah kepada sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, namun dalam beberapa perkara tertentu, kuasa membuat keputusan terletak pada budi bicara Tuanku, seperti yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya, ada pula rakyat yang khilaf tentang hal ini. Mereka menganggap peranan Raja-raja Melayu hanyalah sebagai simbol semata-mata tanpa mempunyai kuasa eksekutif dalam pemerintahan negara.

Lebih lanjut: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Hakikatnya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah kuasa utama di dalam badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara. Ini bermakna bahawa segala urusan kerajaan ialah urusan Seri Paduka Baginda yang seterusnya diturunkan kepada jemaah menteri.

Dalam institusi pemerintahan negara, terdapat tiga cabang kuasa iaitu badan eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini berada di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Lebih lanjut: Kuasa Agong: Budi Bicara v. Nasihat

Sistem pengasingan kuasa ini adalah integral dalam merealisasikan prinsip semak dan imbang. Hal ini penting bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Namun, apabila asas ini gagal difahami, maka berlakulah kesilapfahaman terhadap kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.

Raja-raja Melayu sebagai ulil amri wajib di hormati oleh rakyat, dan titah perintah Yang di-Pertuan Agong yang berada di bawah bidang kuasa Baginda hendaklah dituruti oleh semua warganegara.

Lebih lanjut: Kewajipan Mentaati Raja Sebagai Ulil Amri

Raja-raja Melayu ialah tonggak pemerintahan negara dalam sistem kenegaraan Malaysia yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja.

Sebagai negara yang berdaulat, kita mempunyai kerangka sistem pemerintahan yang tersendiri dan berdasarkan adat setempat.

Jangan sampai kita lupa sejarah tanah air kita dan tidak mengenali sahsiah diri sendiri. Jika kita lupa akan asal usul kita, maka akan hilanglah jati diri bangsa.

Negara ini bukanlah terbina dengan sendiri tetapi lahir daripada pengorbanan mereka yang mendahului kita.

Lebih lanjut: A Kadir Jasin and the Raja-Raja Melayu

Rencana berkaitan:

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Columnist at Utusan Malaysia. RCE Youth Coordinator at RCE Greater Gombak. Secretary at Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME'DIDIK).

2 thoughts on “Daulat Tuanku”

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.