SAJIAN kuetiau yang enak dari King’s Char Kuey Teow.
SAJIAN kuetiau yang enak dari King’s Char Kuey Teow.
AIZAT dan Haizatul di depan King’s Char Kuey Teow.
AIZAT dan Haizatul di depan King’s Char Kuey Teow.
SHILA akui char kuetiau pembuka selera pelbagai bangsa.
SHILA akui char kuetiau pembuka selera pelbagai bangsa.
Adam Salleh


Berniaga kuetiau itu biasa boleh dilihat di mana-mana, namun yang luar biasa kuetiau disajikan ‘berbisa’ sehingga melekat di minda. Hakikatnya inilah dibuktikan King’s Char Kuey Teow di Port Dickson, Negeri Sembilan ini, apabila pelanggan yang sudah ‘pekena’ sekali ketagih untuk mengunjungi lagi, dan apa yang terjadi bukan pelanggan setempat saja bahkan dari Lembah Klang dan Singapura.

King’s Char Kuey Teow di bawah pengurusan Airaizat Global Sdn Bhd asalnya beroperasi di bawah pokok dengan dua pekerja pada 2011. Selang dua tahun perniagaannya berkembang sudah mampu menyewa tapak lebih luas dengan 26 kakitangan serta tujuh tukang masak.

Pengarah Airaizat Global Sdn Bhd, Aizat Zulhailie Abu Bakar, 28, berkata berniaga makanan yang dititikberatkan adalah kepuasan pelanggan bukan memikirkan keuntungan semata-mata. Baginya, kepuasan pelanggan ibarat amanah yang memberi keberkatan dalam berniaga.

“Sekiranya pelanggan puas, hati saya dan isteri berasa sangat lapang. Pernah terjadi bekalan masakan kami habis dan dalam sibuk berkemas selepas tamat berniaga, muncul pelanggan mengandung bersama keluarga dari Tanjung Malim mengidam nak makan kuetiau kami.

“Serba salah saya dibuatnya. Lalu saya gorengkan telor dan perasa kicap agar pelanggan itu tidak terkilan untuk merasainya,” katanya.

Kelebihan King’s Char Kuey Teow ini bukan saja pada Aizat dan isterinya, Haizatul Jantan, 28, yang ramah terhadap pelanggan tetapi ramuan disajikan seperti kerang gred A, udang gred A dan lebih istimewa kicap hasil ‘air tangan’ isterinya sendiri yang juga pengarah syarikat.

“Sumbangan isteri saya besar dalam melicinkan operasi perniagaan kami ini sejak bermula dengan hanya lapan meja saja. Malah saya hargai pengorbanan isteri yang sanggup berhenti kerja di imigresen kerana mahu memberi tumpuan serius pada King’s Char Kuey Teow ini,” katanya.

Harga sepinggan kuetiau RM5.30 hingga RM7. ­Dalam sehari, 60 kilo udang diperlukan manakala seminggu bekalan kuetiau diperlukan sebanyak 1 tan.

Tujuh tukang masak bertungkus lumus diketuai chef Rosnaidi Yasli dan pembantunya, Azril Aziz.

Sebelum serius berniaga kuetiau, Aizat pernah makan gaji menjadi penyambut tetamu di Avillion Resort, Ilham Resort dan setahun bekerja penghantar pizza di PD. Kemahiran memasak kuetiau diperoleh ketika membantu ibunya, Rosmani Mahat di gerai makanan.

“Mak saya berniaga, ayah saya pula (Abu Bakar Sulaiman) pemandu di Jabatan Pertanian. Selama 15 tahun saya membantu mak, serba sedikit ilmu memasak beliau dicurah pada saya. Paling pantas saya boleh memasak kuetiau ini dalam masa lima saat saja,” katanya.

Ayah kepada bayi sulung, Muhammad Fathul Rizqi, dua setengah tahun ini, berkata timbul hasrat untuknya membuka kolam udang sendiri bagi menampung keperluan bekalannya pada masa depan. Ini kerana pelanggannya dari sehari ke sehari kian bertambah.

“Menu kami juga terpaksa ditambah selain kuetiau, kami menyajikan masakan Barat, nasi goreng dan pelbagai ikan bakar,” katanya.

Kalangan selebriti juga tidak terkecuali pernah menjamu selera di King’s Char Kuey Teow ini antara mereka, Datuk Hattan, Kamal Adli, Acong Sweet Child, Ustaz Hazlin Bahrin (Ustaz Bollywood) dan Cat Farish. Pada 1 Mei depan, King’s Char Kuey Teow bekerja­sama dengan Malaysia Life For Syria akan membawa Faizal Tahir, Hafiz Hamidun dan Heliza Helmi untuk mengutip dana mengisi Tabung Syria.

Keenakan udang, kerang segar

Keenakan kuetiau sajian King’s Char Kuey Teow bagi Shila Lama Abdullah adalah pada kicap, udang dan kerang yang segar. Bagi bekas model, dramatis dan penyanyi nasyid kumpulan Huda ini, Shila yang berketurunan Cina menyifatkan dirinya beruntung kerana pernah menikmati cara masakan kuetiau daripada air tangan dua kaum, Melayu dan Cina.

“Saya dapati orang Melayu suka makan kuetiau yang basah iaitu berkuah, sebaliknya masyarakat Cina suka makan kuetiau kering. Saya tiada masalah untuk menikmati kedua-dua cara masakan apatah lagi anak saya semua berselera Melayu,” katanya.

Menurut Shila, kuetiau adalah makanan yang ringkas dan pantas dimasak sememangnya sinonim dengan orang Cina yang mahu cepat bekerja. Sesudah merasai kuetiau King’s Char Kuey Teow, dia mengakui masakannya memang menepati cita rasa pelbagai bangsa.

“Saya dapat merasai kerang dan udang yang segar di King’s Char Kuey Teow ini. Malah saya diberitahu kicapnya ramuan sendiri dan inilah tarikan istimewa kedai ini,” kata Shila yang juga Pengerusi Yayasan Mualaf Malaysia dan Pengerusi Koperasi Permodalan Mualaf Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:01 AM