Sempadan negara dibuka 1 April 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Sempadan negara dibuka 1 April 2022 - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mac - Kerajaan memutuskan supaya sempadan negara dibuka pada 1 April 2022, selari dengan perancangan memasuki fasa peralihan ke endemik.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara serta tidak merumitkan perjalanan mereka.

 

"Malaysia adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua. Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang ada dokumen sah boleh keluar masuk seperti biasa dan boleh pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

 

"Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera.

 

Walaubagaimanapun, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara kita dan kebanyakkan negara di seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia," katanya pada sidang media khas di Parlimen, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

 

 

pm

 

 

Beliau berkata, bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok.

 

Katanya, kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.

 

 

pm

 

 

"Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

 

"Seperti ramai sedia maklum, buat masa ini VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia.

 

 

pm

 

 

Tambahnya, diharapkan rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya. - DagangNews.com