Lintasan Pejalan Kaki Fries McDonald’s tarikan baharu Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Lintasan Pejalan Kaki Fries McDonald’s tarikan baharu Kuala Lumpur

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - McDonald’s Malaysia hari ini melakar sejarah ibu kota Kuala Lumpur dengan menjadikan ilustrasi kentang gorengnya, “McDonald’s French Fries” yang terkenal di seluruh dunia sebagai lintasan pejalan kaki, sekali gus mencipta lokasi ikonik baru untuk pengguna-pengguna media sosial bergambar di kota raya ini. 

 

Usaha ini bertujuan untuk mencetus keterujaan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi destinasi wajib dilawati buat pengunjung tempatan dan luar negara.

 

Berhadapan McDonald’s cawangan Bukit Bintang, Lintasan Pejalan Kaki Fries McDonald’s akan membawa pengunjung terus ke dalam restoran pertama McDonald’s di Malaysia itu yang dibuka sejak 40 tahun lalu pada tahun 1982.

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, pihaknya bersyukur dan amat berbesar hati dengan inisiatif McDonald’s Malaysia yang tampil ke hadapan dan bekerjasama dengan Kementeriaan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menambah nilai lintasan pejalan kaki Bukit Bintang dengan kreativiti dan menjadikannya simbol ikonik bandar raya.

 

“Selain itu, kementerian dan DBKL juga percaya ia akan memacu perkembangan ekonomi Kuala Lumpur. Inisiatif McDonald’s ini juga merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan fizikal dalam wawasan kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang makmur menjelang 2030,” katanya selepas merasmikan Lintasan Pejalan Kaki Fries McDonald’s di McDonald’s Bukit Bintang.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar pula berkata, syarikat berharap penukaran lintasan pejalan kaki Bukit Bintang kepada Lintasan Pejalan Kaki Fries McDonald’s ini akan membantu memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai lokasi wajib dilawati oleh pelancong tempatan dan luar negara. 

 

“Kami telah meningkat maju bersama-sama rakyat Malaysia sejak 40 tahun lalu dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi Kuala Lumpur dan Malaysia secara keseluruhan. Di samping menghidangkan detik-detik kegembiraan, kami juga menganjurkan program komuniti dengan kerjasama Ronald McDonald House Charities (RMHC) sebagai salah satu cara untuk membantu komuniti-komuniti di mana kami berada,” katanya.

 

 

mcd
(Dari kiri) Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Datuk Azmir Jaafar dan Rakan Kongsi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Sulaiman Mohamed.

 

 

McDonald’s terus komited dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara seperti yang telah diumumkan dalam 5 tahun perancangan pengembangan perniagaan mereka awal bulan ini. 

 

 

mcd

 

 

Sebagai sebahagian daripada Wawasan 2026 mereka, McDonald’s Malaysia akan melabur sebanyak RM1.35 bilion sepanjang 5 tahun akan datang untuk membuka 205 restoran baharu termasuk memberi peluang kerjaya kepada lebih daripada 50,000 rakyat Malaysia menjelang tahun 2026.

 

Pada April 1982, McDonald’s membuka restoran pertamanya di Malaysia di Jalan Bukit Bintang dan sejak itu telah berkembang ke serata Malaysia. 

 

 

mcd

 

 

Setelah 40 tahun berada di Malaysia, McDonald’s kini mempunyai 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih daripada 300 restorannya di serata negara. 

 

McDonald’s menggaji lebih daripada 15,000 rakyat Malaysia di restoran-restorannya di seluruh negara yang memberikan peluang kerjaya, latihan serta pembangunan. - DagangNews.com