Kumpulan nasyid Devotees menjelaskan masalah teknikal yang berlaku ketika pentas separuh akhir Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) antara punca gagal ke final.

Kata Devotees, persediaan rapi telah dibuat sejak diselamatkan daripada penyingkiran minggu suku akhir, namun berlaku beberapa masalah kecil yang menyebabkan mereka kecundang.

"Pada minggu separuh akhir sebegini, setiap kesilapan kecil akan diambil kira setiap penilaian dan markah juri.

"Kami sudah menyusun jalan cerita dan susunan lagu sebaik mungkin namun kami berdepan masalah dengan ear monitor.

"Kami tidak dengar suara kami sendiri dan menjadi blur. Rentak pun hilang dan tempo pun lari.

"Adatlah, perkara berlaku luar jangka dan kami tidak menyalahkan sesiapa pun atas penyingkiran ini," jelas Devotees.

Devotees mempersembahkan lagu Perpisahan Terasing (KRU) menjadi salam perpisahan akhir untuk perjuangan di pentas GGV2.

Selain Devotees, Mestica turut tersungkur pada pentas separuh akhir GGV2 Sabtu lalu.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam.

GGV2 akhir akan ditayangkan di lima saluran iaitu Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135), Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan saluran terbaharu sempena Ramadan, Ramadan HD (saluran 122).

Konsert final GGV2 bakal membawa tema Gema Akhir dan 6 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan