Kelantan kemas kini peraturan sukan tinju Muay Thai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengemaskini enakmen, peraturan dan garis panduan berkaitan sukan tinju Muay Thai dengan mengambil kira pandangan beberapa tokoh agama.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, pandangan mengenai perkara itu sebelum ini dilontar Mufti Kelantan Dato’ Muhammad Shukri Mohamad dan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Katanya, kedua-dua tokoh terbabit melalui beberapa kenyataan sebelum ini menyatakan sukan Muay Thai tidak bertepatan dengan syariat kerana mencenderakan lawan.

“Setakat ini Muay Thai dibenarkan dalam bentuk persembahan atau pertunjukan sahaja,” katanya pada perjumpaan dengan pegawai dan kakitangan Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah U-Bes Nasruddin Mahmood Muhaidin dan pegawai agensi terbabit.

Wan Roslan juga berkata, sehingga sekarang kerajaan negeri tidak membatalkan terus aktiviti sukan terbabit.

“Begitu juga persembahan hiburan terbuka atau konsert, kerajaan akan menilai kembali Enakmen Kawal Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 bagi memperkemas dan menambahbaik garis panduan sedia ada,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -