malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kenakan hukuman lebih berat ke atas pelaku kes buang bayi'
ADS

Trend buang bayi dilihat masih berterusan walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menangani jenayah tersebut termasuk yang melibatkan golongan remaja.

Dalam siri akhir daripada dua bahagian ini, wartawan Bernama, Balkish Awang mengupas antara jalan penyelesaian yang perlu dilakukan bagi membendung kegiatan tidak bermoral itu termasuk hukuman yang lebih serius, pendidikan seks yang lebih komprehensif serta stigma masyarakat yang perlu diubah.


Hukuman lebih setimpal perlu dikenakan ke atas pelaku buang bayi memandangkan trend jenayah ini masih berleluasa.

Pandangan ini diutarakan oleh Pensyarah Kanan Kerja Sosial dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr. Samir Muhazzab Amin berdasarkan pertambahan kes yang dilaporkan setiap tahun.

Menurut beliau, di Malaysia, Akta Kanun Keseksaan (302, 574), Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Mahkamah Syariah (355) adalah antara akta yang boleh disabitkan kepada pelaku.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984)(Akta 355) mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah Syariah.

“Undang-undang perlu dikuatkuasakan dengan lebih serius bagi membendung ‘barah’ yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Contohnya, di bawah Enakmen Jenayah Syariah di Malaysia, masih belum terdapat hukuman berat yang dijatuhkan bagi kesalahan pembuangan bayi.

“Dengan peningkatan kes itu setiap tahun, sudah tiba masanya transformasi undang-undang yang berkaitan terutamanya perundangan syariah di Malaysia dilakukan. Hukuman lebih berat perlu dilaksanakan kepada pelaku yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kes pembuangan bayi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi bahawa hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan terhadap pesalah khalwat, berzina atau bersekedudukan menurut Enakmen Jenayah Syariah negeri adalah dengan tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau kedua-duanya sekali.

Tindakan penguatkuasaan Syariah di Malaysia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah.

“Dalam konteks Kanun Keseksaan hukuman yang lebih berat dikenakan. Kerajaan Malaysia telah meletakkan kes pembuangan bayi disiasat sebagai ‘kes bunuh atau cubaan membunuh’ yang boleh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati. Bagi kes cubaan membunuh pula disiasat di bawah Seksyen 307 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, ” katanya.

Pendidikan seks lebih komprehensif

Dalam isu buang bayi, suspek akan memberikan pelbagai alasan klise seperti mengandung anak luar nikah, takut dimarahi keluarga, masalah kewangan atau malu serta belum bersedia.

Sebahagian besar pasangan yang terlibat dalam kes buang bayi ini dilaporkan terdiri daripada golongan remaja yang secara tidak langsungnya mencerminkan tahap kecelaruan masalah sosial dalam kelompok berkenaan.

Menurut Samir Muhazzab lagi, dalam zaman ledakan teknologi kini, satu usaha yang boleh diusahakan bagi membendung jenayah buang bayi adalah pendidikan seks yang lebih komprehensif.

"Data menunjukkan insiden golongan remaja merupakan kelompok majoriti yang sering terlibat dalam masalah pembuangan bayi, berpunca daripada kehamilan luar nikah.

Masyarakat sering melihat dan menuding jari kepada sebelah pihak sahaja. Naratifnya golongan wanita atau remaja perempuan sering kali dilabelkan sebagai pesalah kepada masalah yang berlaku.

"Pada hakikatnya masalah ini berpunca daripada dua pihak pelaku, iaitu remaja lelaki dan perempuan. Namun apabila berlaku kehamilan di luar nikah, golongan remaja wanita ini akhirnya bersendirian. Mereka bersendirian memilih jalan penyelesaian yang serba terhad dan kekurangan. Golongan ini tidak mendapat akses sokongan psikologi daripada ahli keluarga dan rakan-rakan disebabkan oleh salah laku yang sedang ditanggung," tegasnya.

'Baby hatch, peti perlindungan bayi'

Dalam keadaan yang meruncing ini, beliau berpandangan, pendidikan seks yang bersifat lebih komprehensif perlu dilaksanakan meliputi aspek mencegah daripada berlaku, perkhidmatan dan sokongan apabila masalah itu telah berlaku dan aspek pembetulan supaya kefungsian sosial remaja yang terlibat dapat diteruskan.

Beliau berkata, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan tempat khas untuk ‘membuang’ bayi yang dikenali sebagai ‘baby hatch’ (peti perlindungan bayi).

Antara yang menyediakan perkhidmatan ini adalah Yayasan OprhanCare yang dimulakan pada tahun 2010.

Beliau menambah, konsep ‘baby hatch’ ini wujud di dunia Barat semenjak kurun ke-7 lagi bagi menjaga bayi yang dibuang dan ditinggalkan.

"Baby hatch ini sangat diperlukan dalam situasi Malaysia hari ini yang menunjukkan peningkatan insiden pembuangan bayi. Sehingga hari ini hampir setiap negeri mempunyai baby hatch, tetapi ramai tidak sedar akan kewujudan tempat ini," katanya.

Tidak berniat mahu menggalakkan perbuatan seks luar nikah serta mencetuskan salah faham masyarakat, Samir Muhazzab berkata sebagai ahli akademik, beliau melihat aspek pendidikan dan pengetahuan adalah perkara utama yang perlu diberikan penekanan.

"Sesuatu kemudaratan itu tidak boleh dibiarkan berterusan. Kita perlu kehadapan untuk mengurangkan kemudaratan daripada dibiarkan menjadi barah," katanya dan menambah ibu bapa perlu lebih proaktif dalam menangani isu sosial terutamanya masalah pembuangan bayi dalam kalangan remaja.

Lihat Komen