Keputusan kes Nik Elin Zurina perkukuh Perundangan Islam di Persekutuan


  • Massa
  • Sabtu, 10 Feb 2024

Nik Elin Zurina (kanan) dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman mempertahankan tindakan mereka memfailkan petisyen mencabar 18 Enakmen Kanun Jenayah (1) Kelantan 2019.

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 disifatkan tidak menjejaskan sama sekali kedudukan undang-undang Islam sebaliknya satu pengukuhan di peringkat Persekutuan.

Pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, keputusan tersebut dilihat secara langsung mengesahkan kedudukan undang-undang Islam yang bersifat undang-undang awam di bawah undang-undang Persekutuan.

Ini kerana menurut beliau, Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan bahawa hukuman takzir yang terdapat dalam Mahkamah Syariah adalah selari dengan kanun keseksaan di bawah Mahkamah Persekutuan.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Mahkamah Persekutuan ketika ini hanya melaksanakan salah satu daripada tiga jenis hukuman yang ditetapkan di bawah perundangan Islam iaitu hukuman takzir.

"Tiada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-duanya melaksanakan hukum takzir.

"Bezanya, mahkamah syariah bersumberkan undang-undang dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala mahkamah sivil mengikut undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Kerajaan tiada kuasa pengaruhi keputusan pengampunan, Agong ada kuasa budi bicara mutlak — Pakar Perlembagaan

Associate-Professor-Datuk-Dr-Wan-Ahmad-Fauzi-Wan-Hussain

Pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. — The True Net

BACA LAGI: Buka cerita isu pemberian gelaran Tan Sri, cucu Nik Aziz dikecam kerana burukkan bapa saudara

Wan Ahmad Fauzi berkata, dengan keputusan tersebut, umat Islam seharusnya tidak bimbang berhubung kedudukan Islam di bawah perundangan negara.

Malah tegasnya, perkembangan itu juga seharusnya diraikan sebagai satu kemenangan besar kepada orang Islam dalam negara.

"Ini kerana dengan keputusan ini, Islam tidak lagi hanya dilihat sebagai undang-undang negeri dan demikian sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat memutuskan 16 daripada 18 peruntukan terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Ia membabitkan Seksyen 11 mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan bukan manusia) dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Enakmen lain yang diisytihar tidak sah termasuk Seksyen 31 berkaitan memberi maklumat palsu, Seksyen 36 (mabuk), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45) dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal).

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan menerima petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memohon pembatalan terhadap 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi yang juga Profesor Madya di Institut Pemikiran Dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak bermaksud pelaku kepada kesemua kesalahan diperuntukkan dalam enakmen berkenaan terlepas daripada hukuman.

Sebaliknya, ujar beliau, perkembangan itu bakal menyaksikan pelaksanaan perundangan yang lebih menyeluruh kerana undang-undang seumpama itu masih ada dalam undang-undang Persekutuan.

"Sebagai contoh bagi kesalahan liwat, jika ia dibicarakan di mahkamah syariah dan kes itu membabitkan antara orang Islam dan bukan Islam, yang kena hukum hanyalah orang Islam.

"Jadi yang bukan Islam akan bebas. Tapi kalau liwat ini dibicarakan di Mahkamah Sivil, dua-dua kena bicara dan boleh dihukum. Jadi yang mana adil?" soalnya.

Ujarnya, dalam isu tersebut, yang membezakan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah adalah bentuk bidang kuasa.

Beliau berkata, untuk memperkasakan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah, ahli politik seharusnya berganding bahu bagi boleh meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 di Parlimen.

Langkah itu menurut beliau dapat meningkatkan takat hukuman yang boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Jelas beliau, ahli politik khususnya ahli Parlimen tidak sewajarnya memberikan gambaran buruk kepada mahkamah dalam kes ini, sebaliknya menjadi kewajipan mereka untuk menggubal undang-undang yang patuh syariah di Parlimen termasuk melaksanakan pindaan RUU 355 itu.

"Kalau mungkin ada ahli politik berasakan pelaksanaan undang-undang (bentuk) hukuman tidak menepati nilai Islam, mereka boleh gubal perkara itu di Parlimen," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram