Beralih tempat sujud rupanya amalan paling afdal pisah solat sunat dan solat fardu


  • Mukmin
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Hukum beralih tempat sebelum melaksanakan solat sunat rawatib adalah sunat. — Gambar hiasan

SOLAT sunat rawatib merupakan solat sunat dua rakaat yang dilakukan sebelum atau selepas solat fardu lima waktu.

Ibadah ini juga dikenali sebagai solat sunat qabliyyah, iaitu bagi solat sunat yang dilakukan sebelum solat wajib dan solat sunat badiyyah yang dilakukan selepas solat fardu.

Hikmah di sebalik ibadah ini adalah bagi menyempurnakan segala kekurangan ketika mengerjakan solat wajib antaranya seperti tidak khusyuk atau gagal memberikan penghayatan terhadap ayat al-Quran dibaca ketika sembahyang.

Bagi yang rajin ke surau atau masjid, anda pastinya biasa melihat tindakan jemaah atau imam yang akan beralih tempat untuk melaksanakan solat sunat qabliyah selepas menjalankan kewajipan solat fardu secara berjemaah.

Mengulas mengenai amalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hukum perbuatan tersebut adalah sunat.

Menurutnya, hukum sunat itu dinyatakan menerusi hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan menerusi kitab Sahih Muslim yang pesanan Muawiyah RA kepada al-Sa’ib Ibn Ukh Namir bermaksud: "Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat sehingga engkau berkata-kata atau engkau keluar, kerana Rasulullah SAW telah menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga seseorang itu berkata-kata atau keluar.”

Dalam pada itu, Imam al-Nawawi menerusi kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim berkata, galakan terhadap amalan itu bertujuan untuk memisahkan pelaksanaan solat fardu dengan solat sunat.

2038289

Untuk tujuan memisahkan antara solat fardu dan solat sunat rawatib, amalan beralih tempat adalah lebih afdal berbanding berbicara dengan orang lain. — Gambar hiasan

Menerusi kitab tersebut, Imam Al-Nawawi berkata: "Ini adalah dalil pada mana disebutkan fuqaha’ al-Syafieyyah bahawa sebelum ditunaikan sunat rawatib dan selainnya adalah disunatkan untuk beralih daripada tempat ditunaikan solat fardu ke tempat yang lain.

"Dan yang paling afdal ialah beralih menunaikan solat di rumah, dan melainkan tempat lain yang dimaksudkan itu adalah masjid atau selain masjid agar supaya diperbanyakkan tempat-tempat sujud.”

Dalam pada itu, Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa amalan pemisahan antara solat fardu dan sunat itu juga boleh dilakukan dengan hanya berbicara dengan orang lain.

Bagaimanapun, beralih atau berpindah tempat adalah lebih afdal berbanding berbicara.

Menyentuh mengenai kepentingan amalan tersebut, Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj berkata, perkara itu disunatkan kerana ia bertujuan untuk memperbanyakkan tempat sujud.

"Ini kerana banyaknya tempat sujud akan menjadi saksi (di akhirat kelak). Dan agar untuk menghidupkan tanah (tempat sujud) dengan ibadah," menurut Iman al-Ramli dalam kita berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram