'Mungkin Nik Umar ada kualiti boleh ganti Haqimi Azim'


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Elavarasan sekali lagi menjadi subjek kecaman penyokong selepas keputusannya menggantikan penyerang dengan pertahanan.

EMOSI para penyokong terhadap skuad B-23 Malaysia sentiasa ada naik turunnya. Apabila tidak bermain dengan baik, pastinya mereka akan naik berang, dan ketika menang, hati pastinya riang.

Namun begitu, secara umumnya emosi penyokong terhadap skuad B-23 negara tidaklah begitu baik. Punca utama kenapa semua ini berlaku adalah kerana ketidakpuasan hati mereka terhadap pengendali E. Elavarasan.

Rata-rata penyokong tidak berpuas hati dengan apa yang dibawa oleh Elavarasan ketika ini. Pada hemat mereka, pengendali tersebut tidak membawa peningkatan terhadap pasukan dari segi corak permainan serta keputusan.

Rasa tidak puas hati itu berpanjangan kerana kegagalan dalam dua kejohanan lalu iaitu Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23. Seandainya gagal mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23, kemarahan penyokong pasti memuncak.

Kini memasuki separuh perjalanan pusingan kelayakan, skuad negara ditimpa malang apabila penyerang iaitu Haqimi Azim terpaksa disisihkan kerana kecederaan.

Tempat Haqimi Azim digantikan oleh pemain pertahanan, Nik Umar Nik Aziz yang kemudiannya mengundang pertikaian hebat para penyokong mengenai keputusan Elavarasan berbuat demikian.

Dari pandangan kasar, keputusan tersebut nampak seperti sukar untuk diterima logik kerana menggantikan penyerang dengan seorang pertahanan. Namun dari sudut seorang jurulatih, ia pasti ada asasnya.

Menurut bekas pengendali Kedah Darul Aman FC, Azraai Khor Abdullah, penyokong tidak sepatutnya mempertikai keputusan yang dibuat oleh Elavarasan apabila memanggil Umar untuk menggantikan Haqimi Azim.

Azraai juga berpendapat yang penyokong tidak perlu terlalu lantang mengkritik tindakan yang dilakukan oleh jurulatih dalam pasukannya.

375752462_1006812467058656_7609202585060612291_n

Malaysia menang perlawanan pembukaan menentang Bangladesh dengan jaringan 2-0. — Facebook/FAM

Jurulatih dilihat lebih mengetahui apa yang perlu dibuat dalam memastikan kemenangan diraih oleh pasukan.

"Saya rasa penyokong tidak perlu terlalu pertikai keputusan yang dibuat oleh jurulatih," ujar Azraai ringkas.

Azraai berkata, keputusan Elavarasan itu juga mungkin dipengaruhi oleh keadaan semasa yang penyokong mungkin tidak dapat lihat. Kerana itulah, pengendali itu lebih memilih memanggil pemain pertahanan berbanding mencari penyerang baharu.

"Setiap jurulatih pasti ada sebabnya mengapa mereka berbuat demikian. Perancangan taktikal itu boleh berubah mengikut keperluan semasa.

"Dalam masa yang sama, jurulatih juga ada pelannya tersendiri kerana ada masanya jurulatih akan melakukan perubahan posisi terhadap satu-satu pemain. Boleh jadi pemain pertahanan itu diletakkan di bahagian serangan kerana kualiti yang ada padanya," kata Azraai kepada Majoriti.

Malaysia akan turun menentang Filipina dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Asia B-23 pada Sabtu sebelum menamatkan kempen dengan bertemu Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram