Orang ramai yang hadir semasa menyertai himpunan aman desak Segerakan RCI Memali ketika mendesak SPRM siasat kekayaan terlajak keluarga Tun Mahathir anjuran NGO Islam KL, Anak Muda Islam Selangor dan Pas Selangor di hadapan Masjid Negara berhadapan dengan Bangunan TV Al-Hijrah, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kematian kesemua 18 mangsa dalam peristiwa Memali.

Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut didesak agar mendedahkan hasil siasatan terhadap puluhan laporan yang dibuat terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad ekoran tuduhan salah laku ketika beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri.

Gesaan itu dibuat beberapa NGO Islam Wilayah Persekutuan termasuk ahli Pas kawasan Ampang yang mahu agar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu diadili.

Seorang ahli Pas, Mohd. Helmi Iskandar berkata, langkah itu perlu dilakukan segera bagi mencari ‘pembunuh’ sebenar dalam kejadian Memali pada 33 tahun lepas serta membela nasib keluarga mangsa yang terkesan dengan kejadian itu.

Beliau juga menganggap bekas pemimpin-pemimpin Pas yang telah menyertai Pakatan Harapan dilihat menjadi seperti ‘lidah biawak’ apabila bersekongkol dengan Mahathir yang pernah dimaki hamun oleh mereka sebelum ini.

Ahli Pas Ampang, Mohd Helmi Iskandar bercakap kepada media semasa menyertai himpunan aman desak Segerakan RCI Memali ketika mendesak SPRM siasat kekayaan terlajak keluarga Tun Mahathir anjuran NGO Islam KL, Anak Muda Islam Selangor dan Pas Selangor di hadapan Masjid Negara berhadapan dengan Bangunan TV Al-Hijrah, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MAC 2018.

“Walaupun saya ahli Pas yang tinggal di Ampang Selangor, saya hadir hari ini kerana bagi saya isu ini amat dekat dengan umat Islam malah umat Melayu di seluruh negara.

“Dua isu yang saya ingin katakan adalah berkaitan dengan Melayu dan Islam iaitu isu Memali dan isu terlajak kaya raya keluarga Tun Mahathir ataupun rompakan wang negara seperti dikatakan oleh Anwar Ibrahim dahulu,” katanya ketika membacakan satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 50 orang terdiri daripada beberapa ahli pas dan NGO Islam Wilayah Persekutuan menyertai perhimpunan aman di hadapan Masjid Negara di sini selepas solat Jumaat.

Himpunan itu dibuat bagi menggesa kerajaan menubuhkan segera RCI Memali serta menggesa SPRM mendedahkan kepada umum hasil siasatan aduan terhadap kekayaaan luar biasa yang dimiliki oleh Dr Mahathir dan ahli keluarganya.

Dalam pada itu, Mohd Helmi berkata, mereka mahu mengetahui perihal sebenar tentang anak Dr Mahathir iaitu MOkhzani yang diangkat sebagai seorang daripada lima individu terkaya di Asia Tenggara.

“Saya tumpang bangga namun, saya tertanya-tanya, Mokhzani serta adik beradiknya yang lain termasuk Mukhriz, ini terlajak kaya raya atas usaha sendirikah atau dibantu secara salah oleh bapa mereka.

“Mahathir bukanlah dari keturunan hartawan, kerana itulah rakyat agak terkejut bila beliau menjadi perdana menteri hingga tahun 2003, seluruh keluarganya bertukar menjadi terlajak kaya- raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette