Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng kerana menceroboh sempadan negara melalui pintu tidak sah.

KUALA LUMPUR – Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Kem Teredak, Melaka hari ini menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran kerana menceroboh sempadan negara melalui laluan tidak sah.

Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, penahanan dilakukan menerusi Operasi Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) pada antara jam 10 pagi hingga 10.55 pagi, hari ini.

“Pada jam 7 pagi, anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan kelibat orang awam yang dipercayai PATI yang sedang berlari ke arah hutan.

“Hasil maklumat tersebut, pasukan telah mengaturgerakkan Pasukan Aturgerak Cepat bersama pasukan dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ke lokasi untuk membuat penjejakan dan penggepungan di sekitar kawasan Kampung Nelayan hingga ke belukar tepi pantai Sungai Buntu.

“Hasil serbuan sekitar jam 10 pagi telah berjaya menangkap 12 PATI. Seterusnya pada jam 10.55 pagi, tiga PATI yang sedang bersembunyi berhampiran kawasan tersebut turut ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng kerana menceroboh sempadan negara melalui pintu tidak sah.

Kesemua PATI yang ditahan hari ini berusia antara 17 hingga 55 tahun yang mana 11 lelaki dan empat perempuan dipercayai baru tiba ke negara ini.

Dalam serbuan itu, pasukan keselamatan turut merampas wang tunai, telefon bimbit, jam tangan dan pelbagai barang kemas berjumlah hampir RM22,000.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM21,568.96 melibatkan wang tunai matawang Malaysia RM10,051.96 dan matawang Indonesia bernilai RM1,426.08 bersama telefon bimbit, jam tangan serta pelbagai jenis barang kemas,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 15 PATI terbabit kini dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan aturgerak cepat akan meneruskan penjejakan bagi mencari kemungkinan saki-baki PATI di sekitar kawasan tersebut,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette