Hospital Pulau Pinang. - Gambar file

GEORGE TOWN – Hospital Pulau Pinang (HPP) sedang mengesan waris atau ahli keluarga kepada seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di hospital tersebut pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Perubatan HPP, Dr Wong Khar Ming berkata, si mati dikenali sebagai Ahmad Ibrahim, 77, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, alamat terakhir si mati ialah di 10E-2-2 Pangsapuri Harmony, Jalan Kennedy, di sini.

“Lelaki warga emas itu meninggal dunia pada jam 12.56 tengah hari Isnin lalu, akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

“Mayat lelaki itu kini ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik HPP kerana tidak dituntut oleh ahli keluarga atau waris,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ahli keluarga atau waris lelaki itu diminta menghubungi Jabatan Forensik HPP di talian 04 222 5098 bagi urusan pengebumian. – MalaysiaGazette