Umat Islam berhimpun bagi protes serangan kejam Israel keatas hospital di Gaza yang mengakibatkan ratusan rakyat Palestin terbunuh di Bangunan Lembaga Tabung Haji , Kuala Lumpur.. Foto MUHD NA’IM, 20 OKTOBER 2023.

Oleh: Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad

UMUM mengetahu, krisis Palestin-Israel sudah berpuluh dekad berlaku tanpa jalan penyelesaian. Ianya seolah-olah seperti satu pesta atau perayaan tahunan untuk disambut. Walhal, ini adalah peperangan, pembunuhan dan pembantaian masyarakat awam yang tiada dosanya. Namun agak menyedihkan, tiada suara penentangan yang lantang daripada pelbagai pihak yang berkuasa dan berpengaruh.

PBB
PBB iaitu sinonim kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sering digembar-gemburkan sebagai wadah tertinggi di peringkat dunia. Pertubuhan ini dikatakan sebagai ejen penyatu dan pemuafakat masyarakat di peringkat global. PBB juga sering diangkat sebagai ‘hero’ kepada semua permasalahan yang berlaku di dunia ini. Umpamanya, pandemic Covid-19, PBB melalui WHO telah diangkat kononya sebagai wira yang menyelamatkan nyawa. Idea ini juga disambut oleh ramai yang dikatakan sebagai pakar dalam perubatan. Namun, dalam krisis alam nyata dan benar seperti krisis di Palestin, apakah PBB yang dianggap ‘hero’ ini telah menjadi tikus yang tidak ‘bertelur’?

Sewaktu zaman melawan pandemik iaitu satu musuh yang tidak kelihatan di mata kasar yang meragut ramai nyawa, PBB berhempas pulas untuk menanganinya. Kini, musuh yang terang lagi nyata, iaitu ektremis Yahudi dibiarkan begitu sahaja. Berjuta dalam keadaan derita, beratus ribu nyawa terkorban di Gaza dan beribu rumah, hospital, sekolah, kenderaan ranap dibom extremis Yahudi apa tindakan PBB. Ianya respon yang sangat berbeza ketika Russia menyerang Ukraine, PBB begitu pantas mengeluarkan kenyataan.

OIC
Kesatuan Negara Islam atau OIC terus lenyap dan tidak kelihatan buat sekian kalinya. Tiada kelibat dari OIC yang benar-benar lantang mempertahankan bumi Palestin. Bahkan, terdapat negara OIC sendiri yang memberikan pengiktirafan kepada kedutaan Israel untuk beroperasi. Apakah benar cakap-cakap bahawa OIC itu hanya Oh I See? Jika diteliti, barangkali ianya benar. Tiada tindakan yang berani dan tuntas yang diambil oleh OIC di dalam hal ini.

Ketika negara-negara Islam sibuk membina ketamadunan di negara sendiri, ketahuilah sebuah tamadun Islam yang berharga sedang lenyap di Gaza, Palestin. Bumi anbiya yang adanya kiblat suci umat Islam satu ketika dahulu kini diambang kehancuran. Apakah OIC hanya perlu duduk dan lihat kerana di dalam hadis akhir zaman telah menyatakan kemenangan buat tentera Mahdi? Maka, tidak perlu melakukan apa-apa tindakan? Jika ini pendiriannya sungguh malang dan dangkal pemikiran pemimpin OIC.

Pejuang hak asasi manusia
Individu, organisasi dan pergerakan yang memperjuangkan hak kemanusiaan yang dikatakan sebagai suara pendesak perlu ditanya dimanakah mereka sedang berasmara dana. Ketika isu transgender, lesbian, gay dan bisexual ditentang, kumpulan yang kononya pejuang hak asasi berada di barisan paling hadapan. Walhal, boleh dibilang menggunakan jari berapa ramai golongan LGBT ini yang didiskriminasi. Di Palestin, berjuta orang dibunuh, dibakar, dibom dan disakiti, mengapa pejuang hak asasi ‘tidur lena’? Hal ini bolehlah dianggap sebagai
hipokrit tahap terpaling maksimum.

Golongan yang ‘acah-acah’ terpaling pejuang hak asasi manusia, kini menjadi terpaling senyap seperti berada di dalam perpustakaan. Mengharapkan beberapa sahaja organisasi sivil mahupun individu tidak mencukupi dalam menyampaikan mesej anti kepada golongan pelampau Yahudi dan Zionis di Israel. Jika hal ini berlaku di negara seperti di Libya, pastinya kumpulan hak asasi akan bangkit kononnya menentang kekejaman dan penindasan.

Namun, berlaku di Palestin ianya dianggap normal dan tidak ada kegusaran. Pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik di Palestin perlu ditentang habis-habisan oleh semua pihak. Usaha kerajaan Malaysia dan Indonesia yang menolak sekeras-kerasnya tindakan kejam, draconian dan barbaric oleh rejim Israel perlu menjadi contoh kepada pihak lainnya.

Akhirnya, jika amaran daripada beberapa pihak seperti Turkiye, Iran dan Hezbollah di Lubnan tidak dipedulikan, krisis ini mungkin akan menjadi lebih buruk bahkan membawa kepada pertempuran yang lebih dahsyat. Apakah kita setuju untuk menghentikan lagak rejim Israel maka pertempuran besar perlu berlaku? Apakah meja rundingan kini hanya menjadi meja makan dan sembang sahaja? Apakah hanya bunuh dibalas bunuh ubat terbaik untuk menamatkan krisis Palestin-Israel?

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Bersekutu, Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM