Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ, قَالَ: شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ, قُلْنَا: لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا, قَالَ: كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ, وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوِ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ
Khabab bin al-Arat ia berkata, “Kami pernah mengadu kepada Rasulullah SAW ketika Baginda sedang berbantalkan burdahnya di bawah Kaabah. Kami berkata, ‘Tidakkah Anda meminta pertolongan untuk kita? Tidakkan Anda berdoa kepada Allah untuk kita?’ Baginda bersabda, ‘Dahulu, lelaki dari orang-orang sebelum kalian, digali untuk dia galian di tanah, lalu dia dibenamkan di dalamnya, kemudian didatangkan gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan terbelahlah kepala itu menjadi dua bahagian. Perkara itu tidak memalingkan dia dari agamanya. Dia disisir dengan sisir besi yang memisahkan daging dari tulang atau saraf. Namun demikian, perkara itu tidak memalingkan dia dari agamanya. Demi Allah, sungguh Allah telah menyempurnakan perkara ini sehingga seorang pengembara berjalan antara Shana’a ke Hadramaut. Dia tidak takut dengan apa pun kecuali kepada Allah, atau dia tidak risau serigala yang ingin menerkam gembalaannya. Akan tetapi, kalian tergesa-gesa.'” (HR al-Bukhari, Abu Dawud, Ahmad dan Ibnu Hibban)
Redaksi di atas adalah menurut redaksi Imam al-Bukhari pada hadis nombor 3612. Dalam riwayat lainnya, ada sedikit perbezaan redaksi. Ungkapan Khabab bin al-Arat ra, “Fa syakawna (kami mengadu)” menurut Syamsu al-Haq al-‘Azhim al-Abadi Abu Thayyib di dalam ‘Awn al-Ma’bud, maksudnya adalah mengadukan kaum kafir Quraisy Mekah, iaitu perbuatan mereka terhadap para Sahabat.
Kemudian kalimat “An lâ tastanshiru lanâ an lâ tad’ûllâh lanâ,” iaitu meminta pertolongan dari Allah atas kaum musyrik kerana mereka menyakiti kami. Menurut Badruddin al-Ayni di dam Umdah al-Qari Syarhu Sahih al-Bukhari, perkataan “an la…” itu adalah untuk mendorong. Maksundnya, untuk mendorong agar Rasulullah SAW memintakan pertolongan dan mendoakan mereka.
Dalam riwayat Abu Dawud disebutkan bahawa setelah mendengar kata-kata itu, Rasulullah SAW, “Fajalasa muhmarr[an] wajhuhu (Baginda duduk dan wajahmya memerah).” Menurut al-Hafizh Ibnu Hajar al-Ashqalani di dalam Fathu al-Bari, muka memerah itu mungkin disebabkan bekas tidur atau mungkin juga kerana marah, dan perkara ini dipastikan oleh Ibnu at-Tin.
Adapun kalimat “mâ dûna lahmihi min ‘azhmin aw ‘ashabin (apa yang ada di bawah dagingnya berupa tulang atau saraf), dalam hal ini ath-Thaybiy mengatakan, perkataan “min” adalah penjelasan untuk “ma”. Di dalam ungkapan itu, ada unsur hiperbola iaitu dalam penggunaan ayat “sisir” yang menunjukkan bahawa ianya sangat tajam dan kuat sehingga ia menancap ke daging sehingga tulang dan saraf melekat pada tulang itu.
Kemudian, dalam sabda Baginda, dalam ayat “mâ yakhâfu illâ Allâh wa adz-dzi’ba ‘alâ ghanamihi,” terdapat mubalaghah (hiperbola), iaitu ungkapan yang berlebihan atas tercapainya keamanan dan hilangnya rasa takut. Keadaan itu merupakan penegasan atas penyempurnaan urusan agama Islam iaitu kemenangan Islam.
Sabda Nabi SAW, “wa lakinnakum tasta’jilûn” menunjukkan bahawa Baginda tidak memenuhi permintaan para Sahabat itu. Ibnu Bathal dalam Syarhu Ibni Bathal menjelaskan bahawa dalam hal ini, ada fikih iaitu Nabi SAW tidak meninggalkan doa dalam hal itu, sedangkan Allah memerintahkan mereka berdoa secara umum kecuali kerana Baginda mengetahui dari Allah bahawa ia sebenarnya merupakan ujian dan dugaan agar mereka dapat beroleh pahala atas apa yang terjadi. Biasanya ujian berupa sabar atas kesukaran di jalan Allah ini diberikan kepada pengikut para Nabi agar kemudian mereka dapat merasa pertolongan, sokongan, kemenangan serta pahala yang besar dari Allah.
Selain dari para Nabi, sebagai hamba Allah, kita digalakkan berdoa dalam setiap ujian atau dugaan yang ditimpakan kepada kita. Kerana, kita tidak mengetahui perkara yang ghaib. Apatahlagi, doa termasuk dalam ibadah yang paling afdal. Orang yang berdoa tidak akan kosong dari satu di antara tiga perkara yang dijanjikan oleh Allah SWT iaitu diijabah di dunia, dihindarkan dari keburukan atau perkara yang serupa dengannya atau disimpan semuanya untuk diijabah di akhirat.
Menurut Abu Thayyib dalam ‘Awn al-Ma’bud, sabda Nabi SAW itu bermaksud, “Seksaan kaum musyrik (atas kaum muslim) akan hilang. Kerana itu, bersabarlah di atas perkara agama sebagaimana orang sebelum kalian bersabar.”
Walhasil, menurut Badruddin al-Ayni dalam Umdah al-Qari, maksudnya adalah, “Janganlah kalian tergesa-gesa. Kerana orang-orang sebelum kalian juga menderita dan mereka bersabar.” Asy-Syari’ menyampaikan perkara itu untuk menguatkan kesabaran mereka atas setiap ujian. Rasulullah SAW menegaskan dengan kalimat sumpah bahawa Islam pasti disempurnakan oleh Allah SWT pada saatnya menurut kehendak-Nya.
Kerana itu, yang perlu dilakukan adalah bersabar atas kesulitan dan memberikan pengorbanan untuk Islam. Kesabaran dan pengorbanan itu pasti akan berakhir dengan pertolongan atau kemenangan. Allah SWT secara khusus memerintahkan kita untuk bersabar atas musibah yang menimpa [TMQ Luqman (31): 17] dan menguatkan kesabaran [TMQ Ali-Imran (3): 200].
Allah SWT juga memerintahkan kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan solat [TMQ Al-Baqarah (2): 153]. Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa pertolongan itu akan bersama dengan kesabaran.
وَاعْلَمْ أَنَّ فِي الصَّبْرِ عَلَى مَا تَكْرَهُ خَيْرًا كَثِيرًا وَأَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرِ وَأَنَّ الْفَرَجَ مَعَ الْكَرْبِ وَأَنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“…Ketahuilah bahawa di dalam kesabaran atas apa yang tidak engkau sukai terdapat kebaikan yang banyak, bahawa kemenangan itu bersama dengan kesabaran, bahawa jalan keluar itu bersama dengan kesusahan dan bahawa bersama kesukaran itu ada kemudahan.” (HR Ahmad dan al-Baihaqi)
Jadi kesabaran dan pengorbanan, selain mengandungi banyak kebaikan ia juga mengundang dan menjadi salah satu kunci pertolongan Allah SWT dan kemenangan. Wallahualam.