ISU SEMASA: PEMBUANGAN BAYI

image

Pendahuluan

Pembuangan dan pembunuhan bayi adalah antara jenayah yang paling kejam dan tidak berperikemanusiaan. (Anita Abdul Rahim et al, 2012). Sejak lebih sepuluh tahun lalu, media mula memaparkan insiden pembuangan bayi yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya si hamil dan penyebab kehamilan itu. Bayi yang lahir dan tidak diingini dibuang dan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di tempat kotor seperti di dalam tong sampah, dikerumuni semut di atas rumput, hanyut di dalam sungai, digonggong binatang buas, dibuang dalam tandas, ditanam dan sebagainya. (Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail, 2016)

Senario tragis ini menunjukkan betapa dasyatnya perlakuan ini, hasil daripada kelahiran tidak sah taraf iaitu lahir di luar nikah ataupun bagi menyembunyikan bukti perbuatan zina yang telah dilakukan (Khadijah Alavi et al., 2012). Terdapat juga bayi terbuang yang ditemui dalam keadaan hidup yang ditinggalkan di masjid, di hadapan pintu rumah orang dan sebagainya. Purata sebanyak 100 orang bayi dibuang di Malaysia setiap tahun dan kebanyakkannya telah mati apabila ditemui. Lebih malang lagi, apabila perlakuan tersebut dilakukan oleh mereka yang beragama Islam (Hashim et.al. 2008).

Masalah pembuangan bayi bukanlah suatu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta anak-anak perempuan atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya sebelum baginda menganut agama Islam. Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini berbeza dengan senario yang berlaku pada zaman jahiliah.  Ini adalah kerana pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan.

Pembuangan bayi dan pengguguran merupakan langkah terbaik yang difikirkan oleh sesetengah pihak bagi menyembunyikan kelahiran mereka. Kini gejala pembuangan bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat. (Hashim et al., 2008).

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Contohnya di Amerika Syarikat dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun. Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah. Majlis HEWI PKPIM juga melihat senario pembuangan bayi yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat kritikal dan perlu ditangani habis-habisan oleh semua pihak. Sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan perlu bekerjasama dalam menangani isu ini. Isu pembuangan bayi merupakan isu yang besar dan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa. (Hashim et al., 2008).

A4E1225C-8436-45BB-A415-709CA435C4CF

Statistik kelahiran anak tidak sah taraf

Menurut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara memperlihatkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan pada tahun 2006 hingga 2010 ialah 234, 647. Manakala, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 2010 hingga 2015, sebanyak 323,047 anak tidak sah taraf telah direkodkan. Malah Timbalan Menteri Pembangu­nan Wanita, Keluarga dan Ma­sya­rakat iaitu Datuk Azizah Mohd. Dun ketika sesi soal jawab di Parlimen pada 16 November tahun lalu turut memberitahu bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin dari tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270 orang. (Kamal, 2017)

Jadi, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran negara pada tahun 2006-2010 dan juga rekod Jabatan Pendaftaran Negara 2010-2015 jelaslah bahawa kadar kelahiran anak tidak sah taraf kian meningkat setiap tahun iaitu meningkat sebanyak 88,400. Isu masalah-masalah sosial seperti mencuri, menyamun, bergaduh, lari dari rumah, perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah termasuklah pembuangan bayi yang membabitkan remaja jelas menunjukkan kadar peningkatan yang semakin membimbangkan.

Menurut Hahim, Khairulhelmi dan Mohd Fahmi adalah suatu andaian yang logik apabila perbuatan zina, hamil luar nikah dan kelahiran bayi yang tidak dikehendaki menjadi tiga faktor yang relevan kepada pembuangan bayi. (Hashim et al, 2008). Di Malaysia, kes-kes kehamilan luar nikah merupakan punca utama kepada kes pembuangan bayi. Hal ini disokong oleh satu kajian oleh Lukman Z. Mohamad dari Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan bahawa 90% status bayi luar nikah menjadi faktor utama bayi dibuang (Lukman Z. Mohamad, 2006).

Secara logiknya pasangan yang berkahwin secara sah tidak akan membuang bayi yang dilahirkan. Jika dihimpit oleh faktor ekonomi atau ditinggalkan suami sekalipun, bayi yang tidak dikehendaki itu akan diserahkan kepada orang lain untuk dipelihara. Sebaliknya wanita yang mengandung anak di luar nikah berkemungkinan besar tidak menghendaki bayi berkenaan dan akan bertindak di luar batasan termasuk membuang bayi mereka.

Statistik Kes pembuangan bayi

Manakala, menurut statistik kes pembuangan bayi yang dikeluarkan oleh PDRM menunjukkan 906 kes dicatatkan dari 2005-2015. Ia menunjukkan trend peningkatan walaupun ada penurunan pada 2007 dan 2009. Walaupun kerajaan telah mewujudkan intervensi awal terhadap kes pembuangan bayi dengan menubuhkan “Baby Hatch” pada 2010, namun kes pembuangan bayi dilihat semakin berleluasa di negara ini. Sebanyak 90 kes (2013) menurun kepada 53 kes (2014), dan seterusnya meningkat kepada 78 kes dicatatkan pada Januari sehingga Ogos 2015. (Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail, 2016)

Data berikut adalah statistik berkaitan jumlah kes pembuangan bayi sebagaimana yang dilaporkan di seluruh negara:

STATISTIK KES PEMBUANGAN BAYI TAHUN 2005-2015

Bil. Tahun Jumlah Kes yang Direkodkan
1. 2005 67
2. 2006 83
3. 2007 76
4. 2008 102
5. 2009 79
6. 2010 91
7. 2011 98
8. 2012 89
9. 2013 90
10. 2014 53
11. 2015 78
Jumlah                                                906

Sumber: Statistik Kes Buang Bayi PDRM

Statistik Kes Buang Bayi menurut sumber dari PDRM menunjukkan menurun pada tahun 2007, 2009, 2012, 2014. Walaupun kadar kes buang bayi yang dilaporkan menurun pada tahun-tahun tersebut, tetapi kadar kesnya tetap banyak. Dan terus meningkat pada tahun-tahun lain.

Faktor gejala pembuangan bayi

Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Di samping itu, pengaruh rakan sebaya terutamanya dalam kalangan remaja lelaki, juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya. (Hashim et al., 2008).

Selain itu, kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan. (Hashim et.al. 2008)

Inisiatif kerajaan membasmi pembuangan bayi di luar negara

Selanjutnya, negara seperti Perancis, Sweeden, United Kingdom dan Kanada banyak membantu remaja hamil dengan latihan vokasional, pendidikan, mencari pekerjaan dan bantuan pengangguran. Sokongan tersebut ditawarkan adalah bagi membantu remaja untuk merancang masa hadapan dan memberi kemampuan penjagaan kepada anak selepas lahir. Berbanding dengan negara Amerika Syarikat, mereka lebih menekankan tanggungjawab individu remaja terbabit terhadap kebajikan masing-masing yang melibatkan pendidikan, latihan dan pekerjaan adalah tanggungjawab remaja dengan bantuan ibu bapa. (Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail, 2016)

seks bebas

Langkah membasmi pembuangan bayi di Malaysia

Menurut Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail (2016), kerajaan Malaysia juga banyak memberi pilihan kepada remaja hamil luar nikah sama ada untuk berada di institusi rumah perlindungan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) seperti Raudatus Sakinah. Di sana boleh mendaftarkan anak yang bakal lahir kepada keluarga angkat melalui akta pengangkatan anak ataupun remaja itu sendiri diletakkan di bawah jagaan ibu bapa di rumah. Walau bagaimanapun, remaja hari ini lebih suka untuk menyelesaikan masalah kehamilan yang dihadapinya sendiri sehingga sanggup membuang bayi.

Begitu juga, kerajaan Malaysia juga mempunyai kerjasama dengan badan-badan kerajaan untuk memulakan kempen bagi remaja perempuan yang masih diperingkat sekolah terhadap perkara yang berhubungan dengan seksualiti untuk memerangi jenayah buang bayi. Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun “Untuk menangani bayi terbuang, Kementerian tersebut mempunyai tujuh program yang merangkumi Dasar Negara dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang diperkenalkan pada tahun 2009. Di samping itu, Program tersebut juga telah diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai aktiviti ko-kurikulum di sekolah yang mensasarkan pelajar dalam Tahun Enam, Tingkatan Tiga dan Pendidikan Khas. (Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail, 2016)

Terdapat juga usaha-usaha untuk mencegah pembuangan bayi oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya ialah melalui perlindungan ibu-ibu di kalangan remaja yang tidak berkahwin sehingga kepada penghantaran bayi. Tempat perlindungan tersebut termasuk Raudatus Sakinah, KEWAJA, Darul Wardah dan lain-lain. (Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail, 2016)

Antara langkah lain yang telah diambil untuk menerusi intervensi awal selepas kelahiran ialah dengan mewujudkan ‘Baby Hatch’ sebagai tempat untuk meninggalkan bayi yang tidak diingini. Terdapat juga usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan kempen “Anda Bijak Jauhi Zina” yang dipelopori oleh pengasas Raudahatus Sakinah, kempen kesihatan reproduksi, pendidikan seks dan pelbagai lagi. Sungguhpun demikian, intervensi perundangan dilihat masih kurang diadakan, apatah lagi memberi kesan kepada kumpulan sasaran yang terdedah kepada perbuatan-perbuatan yang boleh mendorong ke arah perbuatan zina yang dikenalpasti sebagai punca utama perbuatan buang bayi. (Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail, 2016)

Terdapat beberapa cadangan dapat telah dikemukakan oleh penulis bagi menangani masalah hamil luar nikah sekaligus dapat mengurangkan kadar pembuangan bayi di Malaysia. Ini adalah kerana antara satu faktor pembuangan bayi adalah terhasil daripada masalah hamil luar nikah. Antaranya ialah, Ibu bapa sangat memainkan peranan yang penting bagi menanggani masalah ini kerana ibu bapa adalah tulang belakang dalam pembinaan keluarga yang sejahtera. Ibu bapa sewajarnya memantau dan mengambil tahu pergerakan anak-anak serta tahu siapa rakan sebaya mereka. Selain itu, Ibu bapa juga perlu mendidik anak daripada aspek keagamaan supaya mereka kenal baik buruk sesuatu perilaku, memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada anak-anak. Bahkan ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak, keluar bersiar-siar atau berkelah sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan bagi merapatkan hubungan silaturahim dengan anak-anak. (Hashim et.al. 2008)

Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor penting yang menjadi punca remaja terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat. Bagi generasi remaja kini, rakan sebaya merupakan rujukan utama dalam pembinaan sahsiah dan tingkah laku mereka. Remaja kini lebih banyak berbincang mengenai permasalahan harian bersama rakan sebaya bukan dengan ibu bapa. Bahkan remaja kini lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa. Kesilapan dalam pemilihan rakan sebaya ini boleh membawa mereka ke arah perkara-perkara negatif misalnya ponteng sekolah, mencuri, merokok, melepak di pusat membeli belah sehingga boleh merosakkan sahsiah remaja tersebut. Maka ibu bapa perlu memantau mengenai rakan sebaya remaja bagi mencegah remaja terdedah kepada aktiviti salah laku seksual. (Hashim et.al. 2008)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kes pembuangan bayi adalah antara perbuatan tidak berperi-kemanusiaan yang kini semakin membimbangkan bukan sahaja di Malaysia bahkan dibincangkan di peringkat antarabangsa. Berita dan laporan mengenai pembuangan bayi sering dipaparkan menerusi media cetak dan elektronik. Berikutan itu, maka kita sebagai rakyat Malaysia perlu berganding bahu bersama pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) bagi membasmi masalah ini. Ini adalah kerana kes pembuangan bayi merupakan kes berat dan merupakan kes bunuh yang melibatkan bayi.

RUJUKAN

(Isu Semasa: Kes Pembuangan Bayi)

  • Hashim Bedu, Khairulhelmi Katip, Mohd Fahmi Mohd Sahid, Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor. (2008). Seminar Kaunseling Keluarga. Keruntuhan Akhlak Dan Gejala Sosial Dalam Keluarga: Isu Dan Cabaran. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Baharu, hlm. 3.
  • Anita Abdul Rahim, Adibah Abdul Rahim, Nazura Abdul Manap. (2012). Hukuman Bagi Kesalahan Seksual Di Bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992: Keperluan Kepada Hukuman Yang Lebih Berat. Jurnal Undang-Undang Dan Masyarakat (2012) 16 Juum 29-42.
  • Khadijah Alavi, Salina Nen, Fauziah Ibrahim, Noremy Md. Akhir, Mohd Suhaimi Mohamad, Noorhasliza Mohd Nordin. (2012). Hamil Luar Nikah Dalam Kalangan Remaja. Jurnal sains social dan kemanusiaan, vol.7
  • Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail. (2016). Pencegahan Dan Hukuman Perbuatan Buang Bayi Menurut Kerangka Perundangan Syariah Dan Sivil Di Malaysia: Cukupkah Undang-Undang Yang Ada?. http://www.ukmsyariah.org/terbitan/wpcontent/uploads/2016/10/11-Adibah-Bahori.pdf
  • (2017, 11 Januari). Kaedah Selesaikan Isu pembuangan bayi, Utusan Malaysia Onlinehttp://www.utusan.com.my/rencana/forum/kaedah-selesaikan-8232-isu pembuangan- bayi-1.430352.
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). (2013, Oktober 17 ). Baby Hatch Pusat Perlindungan www.jkmpetaling.blogspot.com/baby-hatch-pusat-perlindungan-bayi
  • Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, Rezki Perdani Sawai, Mohd Shahrul Faizie Zaini, Allawati Kasri. (2014). “Pendekatan Dakwah Melalui ‘Konsep Cinta Muslim’ Dalam
    Menangani Masalah Sosial Remaja”. al-Hikmah 6(2014): 21-34