Sejak kebelakangan ini masyarakat Malaysia seringkali dilaporkan dengan kejadian bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh. Kekerapan bencana ini telah mengundang rasa trauma dalam kalangan penduduk kerana terpaksa melalui keperitan, kepenatan dan ketakutan yang melampau.

Bencana alam merupakan fenomena yang biasa berlaku disebabkan oleh faktor semulajadi dan manusia. Bencana alam boleh berlaku bila-bila masa dan secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran. Bencana alam berlaku dalam skala yang kecil hinggalah kepada skala yang besar. Kesan bencana alam akan membawa kemudaratan kepada manusia dan persekitaran. Kesan kepada manusia seperti kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda, haiwan ternakan, tanaman hinggalah kepada yang lebih serius seperti kecederaan dan kematian. Manakala kesan kepada persekitaran pula akan merosakan alam sekitar semulajadi serta boleh membawa kepada kesan-kesan alam sekitar yang lain seperti hakisan, pemendapan di sungai, pencemaran udara, air dan sebagainya.

Kejadian bencana alam  boleh diklasifikasi kepada dua faktor iaitu faktor semulajadi dan manusia. Faktor semulajadi adalah disebabkan berlakunya perubahan seperti mampatan, rekahan, regangan, tekanan, kecairan pada struktur dalaman dan permukaan bumi, gas yang ingin dilepaskan dari bumi, perubahan monsun dan halaju angin. Contoh bencana alam yang biasa berlaku dan direkodkan adalah seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, tiupan angin kencang (Taufan, Hurican, belalai gajah), ribut salji, tsunami, ribut petir, banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Manakala bencana alam yang disebabkan oleh faktor manusia seperti sikap tidak bertanggungjawab, kegagalan mengurus, tiada kesedaran alam sekitar menyebabkan aktiviti manusia lebih kepada “keuntungan diri” dan mengabaikan tanggungjawab dan mengenepikan kelestarian alam sekitar itu sendiri.

Di Malaysia kejadian bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh kerap kali berlaku dan telah mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. Kerapkali banjir dan tanah runtuh yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor manusia yang gagal mengurus alam sekitar dengan baik. Kejadian banjir kilat umpamanya, sejak kebelakangan ini sering berlaku di kawasan bandar dan perumahan sekitar bandar seperti di Kuala Lumpur, Johor Bharu, Batu Pahat, Melaka yang telah mengakibatkan kerugian harta benda kepada penduduk. Ketiadaan sistem saliran yang baik, kepadatan pembangunan perumahan dan bangunan merupakan landskap bandar yang kian terserlah kini, namun pada hakikatnya telah mengundang bencana kepada penduduk.

Kejadian tanah runtuh kerap dilaporkan berlalu sepanjang laluan ke Cameran Highland juga menunjukkan bahawa alam sekitar telah mengalami kemudahterancaman akibat daripada tangan-tangan manusia. Faktor tanah tinggi yang ditarah, hujan berterusan dengan intensiti yang tinggi telah menyumbang kepada berlakunya tanah runtuh. Keadaan ini berlaku apabila struktur tanah telah menjadi longgar dan laluan air daripada kawasan yang tinggi telah menyebabkan tanah mudah menggelosor dan akhirnya jatuh ke bawah. Kejadian ini boleh membawa bencana kepada manusia sekiranya, terdapat pengguna yang melalui kawasan tersebut. Keadaan inilah yang berkemungkian berlaku di Cameron Highland yang telah mengakibatkan kematian pengguna jalan raya apabila terdapat tiga kenderaan dilaporkan tertimbus oleh runtuhan tanah tersebut.

Bencana alam seperti letusan Gunung Berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur  semalam turut dilaporkan mencatatkan 13 kematian dan kecederaan sekurang-kurangnya 40 orang penduduk.  Akibat letusan gunung yang kuat, telah menyebabkan kawasan persekitaran menjadi gelap seperti malam akibat ketebalan debu yang dimuntahkan oleh gunung tersebut. Debu tersebut berterbangan di udara dan telah menutup cahaya matahari sehingga dikatakan seperti malam.

Bencana alam seperti yang dibincangkan di atas merupakan bencana yang berlaku disebabkan oleh faktor semula jadi dan manusia. Kesan kepada manusia seperti kecederaan dan kematian serta persekitaran yang musnah jelas memperlihatkan bencana ini tidak boleh dipandang ringan. Kesedaran masyarakat terhadap bencana alam sekitar wajar ditingkatkan. Bencana alam ada kalanya boleh diramal dan dijangkakan berlaku seperti letusan gunung berapi dan banjir. Oleh itu, pihak berkuasa wajar mendedahkan masyarakat setempat khususnya dan masyarakat umum amnya akan bahaya bencana alam serta mengingkatkan langkah berjaga-jaga dari semasa ke semasa. Pihak berkuasa harus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan yang berisiko contohnya seperti kawasan lereng bukit diletakkan alat pengesan pergerakan tanah. Dengan kaedah ini, sebarang pergerakan tanah dapat dipantau dan tanda amaran dan penutupan jalan boleh segera dilakukan.

Masyarakat bukan sahaja perlu didedahkan tentang bahaya kemungkinan berlakunya bencana alam di sesuatu kawasan, bahkan perlu dilengkapkan dengan pelbagai info berkenaan dengan bencana alam yang bakal berlaku seperti banjir, tanah runtuh, letusan gunung berapi, tsunami, ribut petir dan sebagainya. Walaupun ketepatan ramalan, mungkin adakalanya tidak tepat, tetapi sekurang-kurangnya mereka telah diberi amaran awal dan langkah berjaga-jaga perlu ditingkatkan. Pihak berkuasa harus segera mengambil langkah dengan memindahkan penduduk yang berisiko ke tempat yang selamat atau terus menutup mana-mana jalan yang berisiko dan berbahaya kepada pengguna.

Manakala penduduk yang berada di kawasan yang berisiko hendaklah sentiasa bersedia dan  “cakna” dengan sebarang info daripada pihak kerajaan supaya mengambil langkah dengan segera dari aspek keselamatan diri, keluarga dan harta benda supaya berada dalam keadaan selamat.

 

 

 

Prof. Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar,

Penyelidik Utama,

Construction Sustainable Infrastructur and Environmental Management (CSIEM)

Jabatan Pengurusan Pembinaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)