Akad nikah anak Najib selamat disempurnakan malam tadi

Akad nikah anak Najib selamat disempurnakan malam tadi

Majlis akad nikah anak perempuan perdana menteri, Nooryana Najwa Najib dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev selamat disempurnakan di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.

Datuk Seri Najib Razak menyempurnakan sendiri akad nikah itu. Daniyar melafazkan akad nikah itu sekali dalam Bahasa Malaysia.

Adik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohamed Nizam, menjadi saksi akad nikah itu.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah berkenan berangkat ke majlis yang bermula jam 9 malam itu.

Turut berangkat Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang Sultanah Kalsom; Sultan Perak Sultan Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet lain.

Turut bersama ibu perdana menteri, Tun Rahah Mohd Noah serta keluarga terdekat kedua-dua pasangan pengantin.

Hadir sama isteri Naib Presiden Indonesia, Ibu Mufidah.

Sebelum akad, khutbah nikah dibacakan Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Dr Sirajuddin Suhaimi.

Taklik setelah selesai lafaz nikah dibacakan Daniyar di depan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abd Manaf Mat yang sebelum itu membacakan doa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai jurucakap mewakili keluarga pengantin perempuan, manakala jurucakap keluarga pengantin lelaki diwakili Tan Sri Dr Rais Yatim.

Selesai bersalaman dengan bapa mertua dan saksi, Daniyar yang berasal dari Kazakhstan kemudiannya menunaikan solat sunat.

Ini diikuti dengan upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin antara kedua-dua pengantin.

Upacara merenjis pasangan mempelai dimulakan Rahah, diikuti ahli keluarga Daniyar termasuk ibunya, Maira Kurmangalieva dan disusuli perdana menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Nooryana Najwa, 27, mengenali Daniyar, 27, ketika kedua-duanya menuntut di Amerika Syarikat. – Bernama, 20 Mac, 2015.