Lisa Surihani selebriti pertama muncul di E!News Special

Lisa Surihani selebriti pertama muncul di E!News Special

25 Mac - Jika sebelum ini nama besar seperti Jay Park (Korea Selatan), Anne Curtis (Filipina) dan Aaron Aziz (Singapura) menjadi antara selebriti yang muncul menerusi program hiburan terkenal, E! News Asia Special, kali ini tuah memihak kepada aktres jelita, Lisa Surihani apabila dia diumumkan menjadi selebriti Malaysia pertama yang muncul di dalam program yang bakal ditayangkan 30 Mac ini.

Lisa ketika ditemui pada Sidang Media E! News Asia Special di Grand Hyatt Hotel baru-baru ini menyifatkan tawaran untuk muncul di dalam program hiburan bertaraf dunia itu sebagai sebuah penghargaan kepada anak seni sepertinya, malah dirinya mengakui teruja.

"Pada mulanya saya terkejut apabila pihak E! News memberi tawaran kepada untuk membuat sebuah program khas mengenai diri saya. Sudah tentu apabila kita tawaran datang dari program terkenal ini yang ditonton di serata dunia, memikirkannya sudah cukup teruja apatah lagi apabila Lisa menjadi selebriti pertama Malaysia yang muncul menerusi program hiburan mereka, ia seperti satu penghormatan buat anak seni seperti saya dan ia adalah tawaran yang sukar ditolak," ujar Lisa Surihani.

Berdurasi selama 30 minit, program tersebut akan memaparkan perjalanan karier Lisa sebagai anak seni, sisi normal kehidupan Lisa serta pendedahan daripada Lisa yang tidak pernah diketahui ramai selain beberapa perspektif juga pendedahan eksklusif daripada insan-insan terdekat dengan Lisa.

"Ramai yang melihat Lisa sebagai seorang selebriti, tetapi jangan tak tahu, adakalanya Lisa sendiri lupa bahawa diri Lisa adalah seorang selebriti.

"Sebagai contoh, apabila Lisa keluar berjalan-jalan di pusat membeli-belah, selalunya Lisa akan dihampiri oleh beberapa individu yang datang menyapa, benda pertama yang keluar dalam fikiran Lisa adalah untuk cuba mengenal pasti dan mengingat kalau-kalau orang tersebut saudara mara baik sebelah ibu mahupun sebelah ayah. Sehinggalah individu tersebut memberitahu dirinya adalah peminat dan ingin mengambil gambar, barulah Lisa sedar bahawa untuk muncul di khalayak ramai dan mengambil foto bersama peminat adalah salah satu tugas Lisa sebagai selebriti dan Lisa sedang bekerja rupanya," ujar Lisa berseloroh.

Ketika ditanya mengenai respon suaminya tentang kemunculannya di dalam E! News Asia Special ini, Lisa memberitahu bahawa Yusry turut tumpang bangga dan member sokongan dan galakan kepada dirinya.

"Sebaik pihak E! News menyatakan hasrat memimta saya muncul di dalam program ini, saya terus beritahu Yusry yang ketika itu sedang membaca surat khabar.

"Respon yang diterima agak selamba pada mulanya, kemudian Lisa dengan berhati-hati beritahu bahawa dia juga akan ditemubual dalam program tersebut, dengan pantas dia berkata, 'boleh, bila nak mula penggambaran?', begitulah Yusry yang saya kenal, dia seorang yang sangat 'cool' tetapi dalam masa yang sama sangat-sangat menyokong dan mempercayai saya,"jelas Lisa.

Lisa turut menambah, dia sebenarnya sangat-sangat berdebar dan tidak sabar menyaksikan temubual daripada suami dan juga teman-teman rapat mengenai dirinya memandangkan rakaman dibuat berasingan dan dia tidak tahu soalan apa yang diajukan kepada mereka.

"Selain suami, beberapa teman rapat dalam dunia hiburan turut muncul dalam program khas ini seperti Liyana Jasmay, Nur Fazura dan Aaron Aziz. Lisa sebenarnya teruja untuk menyaksikan temubual tersebut kerana ingin tahu apa agaknya soalan yang diajukan kepada mereka dan apa agaknya pandangan mereka mengenai diri Lisa di mata mereka memandangkan kami membuat rakaman berasingan dan Lisa sendiri tidak diberitahu akan soalan yang diutarakan kepada mereka.

"Lisa ada juga cuba memujuk Yusry untuk bertanya soalan apa yang ditanya, tetapi Yusry enggan memberitahu, jadi terpaksalah Lisa menyaksikan program tersebut di kaca TV hujung bulan ini,"ujar Lisa.

E! News Asia Special menampilkan Lisa Surihani akan ditayangkan di saluran Astro 712 pada jam 10 malam.