Usop Wilcha kesal terpalit kontroversi

Usop Wilcha kesal terpalit kontroversi

8 Okt – Tiada angin, tiada ribut, nama pelakon komedi Usop Wilcha terpalit beberapa kontroversi. Selepas dikatakan bermasam muka dengan pengarah terkenal, Mamat Khalid, kerana tidak berpuas hati dengan bayar kurang setimpal yang diterimanya untuk filem "Usop Wilcha Melawan Warewolf Dari Bangladesh", pemilik nama sebenar Syed Mohamad Asri ini dikhabarkan telah menimbulkan masalah di set penggambaran.

Kesal dengan dakwaan yang dikeluarkan oleh sebuah ruangan gosip yang mengatakan dia telah melemparkan pakaian ke wajah penjaga kostum, Usop yang mula dikenali dengan filem "Zombi Kampung Pisang" tampil memberi penjelasan dan memberitahu dia mendapat tahu mengenai perkara tersebut daripada isteri Mamat.

"Saya tidak tahu-menahu tentang perkara ini sehinggalah diberitahu oleh isteri Mamat, Hasmah Hassan. Ketika mendapat perkhabaran tersebut, saya benar-benar terkejut. Sepanjang bergelar pelakon, saya tidak pernah bertindak seperti itu.

"Saya juga berasa terkilan kerana penulis ruangan itu tidak menghubungi saya sendiri tetapi lebih mempercayai sumber yang kononnya boleh dipercayai," ujarnya seperti dipetik daripada laporan Kosmo!.

Usop turut menafikan dakwaan bahawa dia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Mamat Khalid.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mamat Khalid. Saya sudah menganggapnya seperti abang saya sendiri dan berasa agak kecewa dengan laporan berkenaan," katanya.

Selain daripada itu terdapat khabar angin mengatakan Mamat Khalid yang diberi kepercayaan mengarah filem terbitan Usop berjudul "Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium" sengaja menimbulkan masalah dengan melewatkan hari penyuntingan.

Namun Usop mengambil pendekatan untuk tidak memberi komen kerana enggan isu ini berpanjangan.

"Saya sudah lama mengenalinya. Justeru apabila saya mengambilnya untuk mengarahkan filem itu, bermakna saya sudah faham caranya bekerja. Tambahan pula, dia memang sibuk. Jadi, sukar untuk kami mencari masa untuk bertemu dan berbincang.

"Mungkin saya bersifat sedikit tegas ketika di lokasi kerana ini merupakan filem terbitan saya. Tambahan pula tekanan yang timbul menerbitkan filem pertama sangat kuat. Mungkin juga perkara tersebut telah diperbesarkan sehingga timbulnya gosip ini. Saya enggan komen lebih panjang kerana bimbang perkara ini akan berlanjutan," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Usop memberitahu filem "Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium" dijangka menemui peminat pada bulan Februari tahun hadapan.