Ayu Raudhah sambung cuti berlakon

Ayu Raudhah sambung cuti berlakon

13 Dis – Aktres jelita Ayu Raudhah terus berehat daripada bidang lakonan selepas disahkan hamil anak kedua dan usia kandungannya sudah memasuki empat bulan.

"Alhamdulillah, saya bakal mendapat anak kedua selepas disahkan mengandung oleh doktor. Saya kini hamil empat bulan dan insyaAllah, jika tiada aral, saya akan bersalin pada Mei tahun depan," ujar Ayu seperti dipetik daripada laporan sebuah portal hiburan tempatan.

Sebelum ini Ayu dan suaminya yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Aisy Qaiser yang bakal menginjak usia sembilan bulan.

Mengakui rindu dengan dunia lakonan, Ayu bagaimanapun memberitahu dia gembira menjalani kehidupan sebagai seorang ibu dan isteri.

"Saya gembira dengan rumahtangga saya dan Alhamdulillah, semakin hari kami semakin bahagia. Buat masa ini saya gmbira menjadi suri rumah dan hidup macam ini.

"Mengenai kerjaya lakonan, saya dah berehat sejak hamil anak pertama lagi. Bukan tak rindu untuk berlakon, tetapi saya tak nak menyusahkan orang. Bila anak dah besar nanti, baru saya akan berlakon kembali," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkahwinan kakaknya, Rozita Che Wan, dia tumpang gembira dan mendoakan agar kakaknya itu dapat mengecapi kebahagiaan bersama suami Zain Saidin.

"Majlis ini adalah yang paling dinanti-nantikan sebab semua tahu dia seorang yang popular dan kaya, tapi tiada kebahagiaan dalam rumah tangga. Sebelum berkahwin kami rapat, tapi apabila saya mendirikan rumah tangga dia menjadi sunyi dan mencari pasangan yang sesuai. Saya doakan mereka bahagia sehingga ke akhir hayat," akhirinya.