Mamat Khalid mahu Usop Wilcha bersemuka

Mamat Khalid mahu Usop Wilcha bersemuka

9 Okt – Pengarah filem popular Mamat Khalid terkejut apabila dikatakan mempunyai masalah dengan pelakon Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha sehingga mereka bermasam muka.

Jelas Mamat, dia terkejut apabila mendapat tahu tentang perkara tersebut daripada orang lain dan meminta agar pelakon itu bertemu dengannya sekiranya tidak berpuas hati.

"Saya terkejut apabila ramai yang menghubungi saya untuk meminta penjelasan tentang perkara itu kerana saya tiada masalah langsung dengan dia. Baru beberapa hari lepas saya berjumpa dengan dia untuk menyelesaikan proses suntingan filem.

"Pada saya, jika dia ada rasa tidak puas hati seharusnya dia berjumpa dan beritahu sendiri kepada saya berbanding menggunakan media," ujarnya seperti dipetik daripada laporan mStar.

Menurut Mamat, dia tidak mengetahui niat sebenar pelakon itu menceritakan hal dalaman produksi kepada media, tetapi merasakan dia perlu diberitahu sekiranya ada timbul ketidakpuasan hati.

Sebelum ini satu ruangan gosip akhbar mingguan mengatakan hubungan pengarah dan pelakon ini dikhabarkan bermasalah selepas Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid dikatakan tidak memberi kerjasama dan sering mengubah skrip ketika penggambaran filem "Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium" yang diterbitkan oleh Usop Wilcha sendiri.

"Tentang mengubah skrip itu adalah perkara biasa pada setiap penggambaran, jika saya rasa skrip yang dibuat itu tidak sesuai, saya akan minta dia ubah menjadi lebih baik," katanya lagi.

Mamat bagaimanapun enggan memanjangkan isu ini dan menghalalkan apa sahaja dakwaan pelakon itu terhadap dirinya.

Sementara itu Usop Wilcha dalam kenyataannya sebelum ini turut menafikan dakwaan bahawa hubungan mereka bermasalah dan enggan memberi komen mengenai perkara tersebut.

Malah nama pelakon yang dikenali menerusi filem "Zombi Kampung Pisang" ini turut terpalit kontroversi lain apabila dikhabarkan berkelakuan buruk di set penggambaran dengan melemparkan pakaian ke wajah penjaga kostum.