Najwa Mahiaddin pilih Mac 2015

Najwa Mahiaddin pilih Mac 2015

14 Dis – Penyanyi Najwa Mahiaddin memilih Mac 2015 untuk melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati, Idris Koh Heng Hui, selepas mengikat tali pertunangan pada 8 Disember lalu.

Memetik laporan mStar, keputusan tersebut dilakukan selepas mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak yang mahukan majlis pernikahan dipercepatkan.

"Alhamdulillah, kedua-dua keluarga tidak menghalang perhubungan kami. Lagipun, keluarga saya sendiri memang sudah lama kenal dengan Idris.

"Bila mereka tahu kami berkawan serius, mereka yang cadangkan supaya kami cepat-cepat tunang serta mendirikan rumah tangga," ujar Najwa seperti dipetik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusannya, JoePRC International.

Majlis pertunangan Najwa, 28, dan Idris, 29, telah berlangsung di kediaman penyanyi itu di Sri Satria, Putrajaya yang dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ahli keluarga dan teman terdekat.

Dalam majlis tersebut, pihak lelaki telah memberikan tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang oleh pihak perempuan.

Najwa yang merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini memberitahu, dia telah mengenali Idris sejak tujuh tahun lalu tetapi mula rapat dan serius berkawan sejak beberapa bulan lalu.

Malah Najwa kagum dengan sikap yang dimiliki oleh suaminya yang merupakan pemilik syarikat Le Koof Music dan pemuzik Bassement Syndicate.

"Dia seorang yang amat bertanggungjawab, boleh mendengar apa yang saya kongsi atau luahkan dan senang untuk diajak berbincang atau berbicara," katanya.

Malah persamaan dan visi mereka dalam bidang muzik juga memudahkan mereka untuk berbincang tentang hala tuju muzik dan persembahan.

[Sumber Foto: mStar]