Siakap Keli

Tular Waktu Solat Maghrib Didakwa Lebih Awal Dari Sepatutnya, Jabatan Mufti Selangor Tampil Beri Penjelasan

Solat lima waktu adalah ibadah yang wajib dilaksanakan umat Islam mengikut waktu-waktu yang ditetapkan. Di zaman yang serba moden ini, cara penentuan batas waktu solat fardhu adalah lebih mudah dan tepat.

Namun begitu, timbul perdebatan dalam kalangan orang ramai tentang waktu solat fardhu Maghrib yang didakwa lebih awal dari waktu sebenar terbenamnya matahari selain suasana langit yang dikatakan masih lagi terang.

Oleh itu, Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor tampil memberi penjelasan berhubung isu ini untuk mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat.

Jadual waktu solat fardhu seiring kehendak syarak

Penentuan waktu solat fardhu tertakluk kepada garis panduan nas syarak dan diperincikan dengan lebih lanjut melalui perbahasan para mujtahid.

Nas-nas tersebut diterjemahkan secara ilmiah dalam bentuk tafsiran falak melalui kajian dan penyelidikan agar tidak lari daripada kehendak syarak sebagaimana yang telah ditetapkan.

Gambar via Google

Hitungan waktu solat dipermudahkan dengan kemajuan ilmu pengetahuan terutamanya melalui ilmu falak atau astronomi. Kajian terhadap putaran bumi dan peredaran matahari memberi manfaat yang sangat besar bagi ibadah seharian umat Islam.

Tokoh dan ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibn Shathir, al-Khawarizmi, Ibn Yunus, al-Bīrūni dan al-Marrakúsyi telah memberi sumbangan yang besar dalam mengkaji pergerakan matahari dan merekodkannya dalam bentuk jadual. Jadual-jadual tersebut benar-benar memberi kesan mendalam dalam dunia astronomi pada hari ini.

Tular isu waktu Maghrib awal dari waktu sebenar

Merujuk isu waktu solat khususnya waktu Maghrib yang tular yang dikatakan awal daripada waktu sebenar terbenamnya matahari dan suasana langit masih lagi terang.

Perlu diketahui bahawa setiap waktu yang dihitung berdasarkan ilmu falak telah melalui kajian pemerhatian untuk tempoh masa yang panjang sebelum ianya diaplikasikan dalam masyarakat.

Gambar via Pixabay

Antara kajian berkaitan waktu solat adalah kajian terbit dan terbenam matahari, kajian matahari transit, kajian tempoh masa pergerakan matahari gelincir, kajian pengukuran panjang bayang, kajian pembiasan ufuk dan kajian kecerahan langit.

Waktu Maghrib adalah apabila matahari secara fizikalnya terbenam keseluruhannya di ufuk barat. la tidak melibatkan suasana dan kecerahan langit ketika matahari terbenam. Sedangkan keadaan cahaya langit sama ada gelap, malap atau terang bergantung kepada astmosfera bumi, awan, haba dan wap air.

Berdasarkan tafsiran astronomi, fenomena ini berlaku ketika kedudukan matahari berada di bawah ufuk dengan jarak zenit matahari yang dihitung adalah, z = 90° 50′ atau 90.83333. Nilai 50′ didapati berdasarkan nilai semidimeter matahari (SD=16″) dan nilai pembiasan atmosfera (R=34″).

Waktu Maghrib dan kecerahan langit adalah perkara berbeza

Kajian terbenam matahari merupakan antara kajian yang mudah dilakukan dalam ilmu falak iaitu berdasarkan pemerhatian mata atau alat bantuan seperti teleskop melihat waktu sebenar bulatan matahari terbenam keseluruhannya.

Terbenamnya matahari secara keseluruhan sebagaimana takrifan masuknya waktu Maghrib dan kecerahan langit adalah dua isu yang berbeza.

Berdasarkan hasil kajian yang dibuat oleh pelbagai agensi telah merumuskan bahawa hasil hitungan ahli falak yang digunakan dalam menentukan waktu solat adalah tepat.

Hadis daripada Salamah:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يصلي المغرب اذا غربت الشمس وتوارت بالحجاب

Sesungguhnya Rasulullah SAW solat Maghrib apabila matahari telah terbenam dan berlindung di balik tabir.”

Riwayat Muslim

Oleh itu, umat Islam tidak perlu ragu atau was-was untuk berpandukan jadual waktu solat yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor

Eyla Azri