Siakap Keli
keliru nak pandang mana ketika rukuk dalam solat
Kredit Gambar: Urban Jabar

Keliru Nak Pandang Mana Ketika Rukuk Dalam Solat? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Keliru Nak Pandang Mana Ketika Rukuk Dalam Solat? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Sejak kecil lagi kita sudah diajarkan cara-cara untuk menunaikan solat dengan betul. Cara melaksanakan solat yang betul dapat membuatkan solat kita menjadi lebih khusyuk termasuklah arah pandangan kita semasa sedang rukuk.

Namun, ada segelintir antara kita yang masih lagi keliru tentang pandangan yang betul ketika rukuk di dalam solat.

Oleh itu, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang arah mana yang patut dipandang oleh seseorang ketika rukuk. Mari baca penjelasannya di bawah ini.

Soalan:

Saya ingin bertanya benarkah ketika rukuk, seseorang itu disunatkan untuk melihat ke arah kedua kakinya? Saya selalu mendengar ustaz berkata demikian. Pada masa yang sama setahu saya ada pandangan yang mengatakan sunat melihat ke tempat sujud ketika rukuk. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Menurut pandangan muktamad di sisi para ulama mazhab Syafie, seseorang itu disunatkan untuk melihat ke tempat sujud dalam semua keadaan ketika solat. Namun ada pandangan lain dalam mazhab Syafie yang menyatakan sunat melihat ke arah bahagian atas kaki ketika rukuk. Hal ini kerana memanjangkan pandangan boleh mengganggu fokus ketika solat, dan jika dia memendekkan pandangan (yakni sekadar kaki ketika rukuk, bukannya ke tempat sujud), itu adalah lebih membantu untuk khusyuk.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya, seseorang itu disunatkan untuk melihat ke arah tempat sujud ketika solat dalam semua keadaan, kerana ia lebih membantu untuk memperoleh khusyuk dalam solat. Ini merupakan pandangan muktamad mazhab al-Syafi’e, seperti yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Kredit Gambar: Urban Jabar

Hal ini berdalilkan antara lain hadis berikut yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

دخل رسول الله صلى الله عليه وسلم الكعبة، وما خلّف بصره موضع سجوده حتى خرج منها

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke dalam Kaabah dan solat di dalamnya; penglihatan Baginda tidak terlepas daripada melihat ke tempat sujudnya, sehinggalah Baginda keluar dari Kaabah.

Riwayat al-Hakim (1/652) dan Ibn Hibban (4/332)

Namun ada beberapa keadaan di mana kita disunatkan untuk melihat ke arah lain, antaranya adalah melihat ke arah bahagian atas kaki ketika rukuk. Pandangan ini ada disebut oleh Syeikh al-Syarwani dalam syarahnya terhadap Tuhfah al-Muhtaj:

وَقِيلَ يَنْظُرُ فِي الْقِيَامِ إلَى مَوْضِعِ سُجُودِهِ وَفِي الرُّكُوعِ إلَى مَوْضِعِ قَدَمَيْهِ وَفِي السُّجُودِ إلَى أَنْفِهِ وَفِي الْقُعُودِ إلَى حِجْرِهِ لِأَنَّ امْتِدَادَ الْبَصَرِ يُلْهِي فَإِذَا قَصُرَ كَانَ أَوْلَى وَبِهَذَا جَزَمَ الْبَغَوِيّ وَالْمُتَوَلِّي…

Maksudnya: Menurut pandangan kedua dalam mazhab: Seseorang yang solat itu hendaklah melihat ke arah tempat sujud ketika dalam keadaan berdiri (qiyam), ke arah kedua tapak kaki ketika rukuk, ke arah hidung ketika sujud dan ke arah paha ketika sedang duduk. Hal ini kerana memanjangkan pandangan boleh mengganggu fokus ketika solat, dan jika dia memendekkan pandangan (yakni sekadar memandang tapak kaki ketika rukuk, bukannya ke tempat sujud), itu adalah lebih utama. Pandangan demikian juga diputuskan oleh al-Baghawi dan al-Mutawalli.

Pandangan ini juga disebut oleh seorang ulama mazhab Maliki, Syarik bin Abdullah al-Qadhi:

ينظر فى القيام إلى موضع السجود ، وفي الركوع إلى موضع قدميه ، وفى السجود إلى موضع أنفه ، وفى القعود إلى حجره

Maksudnya: Seseorang yang solat itu hendaklah melihat ke arah tempat sujud ketika dalam keadaan berdiri (qiyam), ke arah kedua bahagian atas kaki ketika rukuk, ke arah hidung ketika sujud dan ke arah paha ketika sedang duduk.

Kesimpulan

Kesimpulannya, menurut sebahagian ulama mazhab Syafie, seseorang itu disunatkan untuk melihat ke arah kedua bahagian atas kaki ketika rukuk untuk membantunya supaya lebih khusyuk dalam solat. Namun pendapat yang lebih muktamad adalah melihat ke tempat sujud ketika rukuk.

Wallahu a’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Farah Nabilah