Gambar Mesra Dengan Gadis Cina Perkasa Biasa – Mat Sabu

Pengerusi Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja), Mohamad Sabu menyifatkan gambar ‘mesranya’ dengan seorang wanita Cina ketika perhimpunan haram Bersih 4.0 adalah perkara biasa.

Malah beliau membidas majoriti masyarakat Islam hari ini kerana suka memperbesarkan perkara yang remeh berbanding isu yang lebih besar yang sedang dihadapi negara sekarang.

“Baru-baru ini perhimpunan Bersih, orang ratus ribu, saya bila turun dalam keadaan orang ramai, terutama sekali peserta Cina datang ingin bergambar.

“Adalah seorang wanita Cina ini datang ambil gambar sandar dekat bahu kita, itu jadi isu besar sekarang.

“Inilah orang Islam sekarang, dia tengok benda macam ini, dia bukan tengok isu lain yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada ceramah Parti Pekerja di Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Parti Pekerja, Salahuddin Ayub; Naib Pengerusinya, Hasanuddin Mohd. Yunus; Ahli Jawantakuasanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan ramai lagi.

Baru-baru ini tersebar luas di laman-laman sosial gambar bekas Timbalan Presiden PAS itu dalam keadaan mesra dengan seorang wanita Cina pada perhimpunan Haram Bersih 4.0 di Kuala Lumpur.

Mohamad yang lebih dikenali dengan Mat Sabu mengakui berasa sedih meninggalkan PAS namun tetap akan meneruskan perjuangan Islam melalui wadah lain seterusnya bekerjasama dalam gabungan pakatan pembangkang baharu.

“37 tahun dalam parti (PAS) bukan senang nak pergi kepada wadah Islam tetapi bot lain (Parti Pekerja). Sekarang saya tengok markas PAS air mata masih mengalir, markas mana yang saya tidak pergi memberi ceramah untuk kutip derma.

“Tapi kadang-kadang, kawan-kawan, adik-adik (dalam PAS) mereka bersikap kasar macam halau kita. Saya kata, saya tidak lantik peguam untuk tuntut harta sepencarian (selama dalam PAS), kalau tuntut, saya tidak tahu banyak mana.

“Apapun, apa saja khidmat saya dalam PAS, segala bentuk jasa, pengorbanan saya tidak akan ungkit, halalkan semuanya,” katanya. – 3 Sept 2015.

Leave a comment