Kelantan Warriors memberi amaran kepada pasukan pilihan bahawa mereka mahu menjadi pencabar utama kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL), musim ini.

Sedar saingan STL musim ini lebih sengit, Kelantan Warriors membuat keputusan mengekalkan gandingan apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Zawawi, Yuslie Jusoh , Wan Naim Izani Wan Noor dan Hafizi Maarof sambil dibantu bekas tekong Johor Tigris, Muhammad Hairee Haidzir. Apit kanan muda, Muhammad Eqbal Samsuddin, turut disenaraikan.

Bagi menambahkan kekuatan, dua tekong utama Kelab Navy dari Thailand, Apirak Promane dan Sahakan Suiyang, dibawa masuk untuk menyarung jersi Merah Putih.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah, percaya kemasukan tiga tekong baru itu mampu menambahkan bisa skuad Kelantan Warriors kali ini.

"Kami melakukan post-mortem untuk mengkaji segala kelemahan musim lepas dan mendapati Kelantan Warriors perlu mendapatkan tekong berkualiti jika berhajat menjadi pencabar terkuat liga musim ini," katanya dalam Majlis Makan Malam Sepak Takraw Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Zuraidin, yang juga Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, yakin latihan intensif yang dijalankan sebelum ini menjadi bekalan terbaik kepada Kelantan Warriors turun menentang Johor Tigris dalam aksi minggu pertama STL, Ahad ini.

"Skuad Kelantan Warriors menjalani latihan intensif serta perlawanan persahabatan di Selatan Thailand dalam usaha untuk membentuk kombinasi regu yang mantap pada 14 hingga 18 Jun lalu.

"Kemudian, kami menyertai Kejohanan Antarabangsa Empat Penjuru di Pekan Baru, Riau dan berjaya mendapat naib johan," tambahnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors menduduki tangga keenam STL dan layak bersaing dalam saingan Piala Juara-Juara musim lepas.

Bagaimanapun, mereka sekadar di tempat keempat apabila kalah 2-0 (21-17, 21-8) kepada Negeri Sembilan Antlers.