Piala Dunia Hoki Remaja: Malaysia, Australia Kongsi Mata Selepas ‘Dipukul’ Argentina
December 7, 2023 Hafizuddin Omar

Kehebatan pasukan No.1 dunia, Argentina ternyata bukan tandingan buat skuad hoki lelaki Malaysia apabila terpaksa akur tumpas dengan jaringan 0-4 ketika bertemu pada aksi kedua Kumpulan A dalam saingan Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023, semalam.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dalam keadaan hujan itu menyaksikan Malaysia bimbingan Amin Rahim tumpas dengan keputusan tersebut hasil jaringan Bautista Capurro (20’), Marco Aguirregomezcorta (28’), Inaki Minadeo (44’) dan Juan Fernandez (48’).

Hasil kemenangan itu, Argentina merangkap juara bertahan telah mengesahkan tempatnya ke peringkat seterusnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MHC (@malaysianhockeyconfederation)

Pada masa yang sama, keputusan itu membuatkan Malaysia atau nama julukannya Young Tigers berada di tangga ketiga Kumpulan A – berkongsi tiga mata yang sama dengan Australia. 

Untuk makluman, Australia berada di tangga kedua Kumpulan A kerana mempunyai perbezaan gol yang lebih besar berbanding Malaysia.

Ini susulan Australia berhasil merakamkan kemenangan besar 7-1 ketika bertemu Chile pada petang semalam selain hanya tumpas 0-1 di tangan Argentina pada perlawanan pertama, Selasa lalu.

Perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A yang dijadualkan berlangsung pada hari esok (8hb Disember, Jumaat) bermula jam 2 petang akan menjadi medan yang menentukan samada Malaysia atau Australia yang akan mara ke peringkat kalah mati – suku akhir.

Berdasarkan kedudukan semasa dalam Kumpulan A, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Australia sekiranya mahu layak ke peringkat seterusnya.

Sebagai tambahan,  hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja yang layak ke peringkat suku akhir.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen