top of page

Status Haram Rokok Harus Diberi Perhatian


kredit kepada : google.com

Secara umumnya, semua masyarakat terutamanya muslim mengetahui bahawa merokok adalah haram. Namun begitu, masih ramai dikalangan mereka yang tidak mampu meninggalkan gejala rokok tersebut. Ada yang mengatakan bahawa rokok hanyalah makruh dan bukannya haram. Ini hanyalah pendapat mereka sahaja.

Mengikut kenyataan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-37 telah memutuskan bahawa merokok adalah Haram dari segi pandangan islam. Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara yang keji.

Firman Allah s.w.t juga banyak dalam Al-Quran yang menerangkan mengenai perkara yang keji. Antaranya, dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud “ Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan” dan dalam surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud “ dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang burul”. Mengikut ayat tersebut, maka jelaslah bahawa merokok itu adalah haram kerana ia sememangnya memudharatkan kesihatan sama ada perokok mahupun orang disekelilingnya.

Secara umumnya, kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia akibat menghisap tembakau setiap tahun. Seperti yang dikatakan dalam buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden Edisi 2015 karya Danial Zainal Abidin, dalam daun tembakau, terdapat satu hingga tiga peratus nikotin. Manakala dalam sebatang rokok pula terdapat 0.5 hingga 2.0 mg nikotin, bergantung kepada cara ia diproses.

Aktiviti merokok juga dapat melemahkan anggotan badan kita. Dalam sebuah hadis, menurut Ahmad dan Abu Daud, Ummu Salamah berkata, “Rasulullah s.a.w melarang mengambil setiap bahan yang memabukkan dan melemahkan badan”. Adalah wajar kepada kita sebagai umat islam yang meyakini bahawa Rasulullah adalah idola kita dalam mengikut ajaran baginda.

Islam juga melarang sebarang perbuatan yang dapat memudharatkan orang lain. Menurut At-Tarmidzi, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudharatan kepada seseorang Mukmin ataupun menipunya.” Jelaslah disini, asap rokok dihasilkan juga memudharatkan orang disekelilingnya. Seperti yang kita sedia maklum dalam setiap akhbar mahupun dikaca televisyen bahawa terdapat banyak kes yang terjadi akibat asap rokok kepada perokok aktif mahupun perokok pasif. Perokok pasif adalah orang yang dipaksa menghidu bau rokok itu sendiri.

Apa yang dapat saya katakan disini, kempen anti rokok “Tak Nak” tidak dapat membantu secara menyeluruh dalam pengurangan kuantiti perokok di Malaysia. Walaupun pada dasarnya, kita dapat lihat ianya memberi kesan dimata masyarakat namun hakikatnya bilangan perokok semakin meningkat setiap tahun. Statistik 2012 mengenai ketagihan merokok bahawa seramai 4.7 juta perokok berbanding 3.1 juta orang pada tahun 2007.

Hakikatnya, kempen sebegini hendaklah diterapkan dalam setiap individu muslim. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dalam mematuhi setiap perintah Allah s.w.t sejajar dengan pepatah arab iaitu “amar ma’ruf nahi munkar” yang bermaksud berbuat baik dan meninggalkan larangan. Seperti yang dijelaskan dalam petikan di atas, Allah s.w.t melarang kita memudharatkan diri kita sendiri. Sebagai seorang muslim yang mengakui Islam itu agama kita, seharusnya kita berusaha dan sememangnya meninggalkan gejala rokok tersebut. Walaupun kita tahu bahawa berhenti rokok bukanlah satu perkara yang mudah kerana ianya mempunyai bahan ketagih yang tinggi.

Menurut buku Perubatan Islam Edisi Kedua, pada tahun 2000, pakar-pakar sains menemui satu lagi bahan toksik di dalam rokok, iaitu, alkenylbenzenes. Ia digunakan sebagai bahan perisa di dalam rokok. Penemuan ini telah dilaporkan di dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry edisi April, 2000 terbitan Persatuan Kimia Amerika. BBC NEWS 8 Februari 2000 melaporkan, pakar-pakar perubatan dari Royal College of Physicians UK (RCP), meminta supaya pengawasan dan tindakan yang lebih tegas diambil bagi mengawal ketagihan merokok. Nikotin yang terdapat di dalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya setanding dengan dadah heroin dan kokain.

Natijahnya, status pengharaman rokok harus diutamakan sejajar dengan perintah Allah dan larangan Rasulullah yang menyuruh kita menghindari perkara yang memudharatkan diri kita sendiri serta orang disekeliling kita. Menurut Imam Shafie dalam kitabnya yang masyur al-Umm iaitu: “jika mereka menganmbil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku telah menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah s.w.t mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri. Ayuhlah sama-sama kita membenteras gejala rokok untuk kesejahteraan kita bersama.

Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page