UM dekati pesakit lumpuh di Felda Lepar Utara Satu



Keadaan lumpuh sebelah badan, atau dikenali sebagai ‘hemiplegia’, boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan sistem saraf, sama ada strok atau lain-lain kecederaan fizikal. Bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh otak dan sistem saraf yang terlibat, tahap kelumpuhan yang terhasil juga berbeza, dan memerlukan strategi rawatan dan pemulihan yang bersesuaian. Untuk jangka masa panjang, latihan regangan pemulihan sentiasa dicadangkan oleh mana-mana perawat pemulihan  untuk mengembalikan fungsi fizikal tubuh pesakit yang lumpuh kepada tahap yang lebih baik.





Sehubungan dengan itu, sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) telah melawat Suraya Abu Hasan, 26, yang mengalami lumpuh sebelah badan sejak tahun 2009, baru-baru ini.





“Walaupun perjalanan kami ke Felda Lepar Utara Satu, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang ini mengambil masa selama 4 jam dari Kuala Lumpur, namun tidak mematahkan semangat ahli kumpulan penyelidik kerana objektif lawatan ini adalah bagi mendekati segmen komuniti orang kelainan upaya (OKU) yang mungkin terpinggir dari menerima khidmat sokongan pakar rawatan dan pemulihan,” kata Dr. Nasrul Anuar Abdul Razak, pensyarah kanan dan pakar prostetik dan ortotik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM yang mengetuai delegasi penyelidik ini.





Suraya yang tinggal bersama keluarga di Felda Lepar Utara Satu ini merupakan anak kelima daripada 7 orang adik beradik. Beliau disahkan menghidapi masalah saraf sejak tahun 2009, sejurus selepas mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu. Secara tiba-tiba beliau mengalami kelumpuhan di seluruh tubuh di sebelah kiri, dan menyebabkannya terlantar selama 4 bulan. Dua tahun seterusnya melihat keadaan Suraya bertambah baik, namun tidak sesempurna keadaan fizikalnya yang terdahulu. “Saya percaya, dengan latihan regangan yang betul, dan dilakukan dengan konsisten, keadaan Suraya masih boleh dipulihkan lagi,” kata Nasrul Anuar.





Dengan bantuan pelajar sarjana Nur Afiqah Hashim dan Saibah Ghani, beberapa latihan regangan pemulihan telah dikongsi bersama Suraya untuk diamalkan secara konsisten. “Bersama Dr. Nasrul Anuar di Pusat Kejuruteraan Prostetik dan Ortotik (CPOE), Fakulti Kejuruteraan UM, kami sentiasa memberi bantuan sokongan latihan regangan pemulihan sebegini kepada OKU yang memerlukan. Amalan latihan yang konsisten akan membina kekuatan otot di anggota tubuh yang terlibat, dan ini akan membenarkan pesakit untuk lebih yakin melakukan aktiviti fizikal seharian,” kata Nur Afiqah.





“Saya sekeluarga amat terharu dan berterima kasih kepada pihak UM yang sanggup mengunjungi kami di sini. Biar pun saya sudah boleh dikira sembuh, namun dengan pengetahuan mengenai latihan regangan ini saya semakin dengan keupayaan saya untuk pulih dengan lebih baik, dan mungkin akan membenarkan saya untuk berkerja pada satu hari nanti,” kata Suraya.





“Saya yakin keupayaan fizikal Suraya boleh ditingkatkan lagi dengan latihan pemulihan yang terancang dan pemantauan yang rapi. Saya tidak terperanjat jika satu hari nanti Suraya mampu berdikari sehingga menggalas tanggungjawab di alam pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan fizikalnya,” kata Nasrul Anuar mengakhiri temubual.





Program lawatan ini merupakan sebahagian dari siri program yang dinamai ‘Be Able’, yang mendekati pelbagai segmen masyarakat OKU dan cuba mendekatkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan arus perdana. ‘Be Able’ telah dimulakan sejak 2016, dan menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares). Geran dalaman ini diberikan kepada penyelidik UM yang mampu memindahkan kemahiran dan kepakaran penyelidikan mereka untuk manfaat masyarakat setempat.





Maklumatlanjut mengenai program ini atau aktiviti lain anjuran CPOE boleh didapati menerusi Dr. NasrulAnuar Abdul Razak di nasrul.anuar@um.edu.my



Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.