Tahukah kita setiap huruf al Quran yang kita baca berapa ganjarannya? Ketahuilah Allah swt menjanjikan satu huruf dengan ganjaran 10 pahala.
Cuba bayangkan surah al-Fatihah yang kita baca 17 kali sehari, berapa huruf yang kita dah baca dan berapa agaknya jumlah pahala yang kita dah dapat untuk sehari? Banyak kan tuan-tuan. Subhanallah tak terkira. Itu belum kira lagi kalau kita baca 2-3 muka surat al Quran selepas solat dan sebagainya, mesti lagi berganda-ganda pahala yang kita boleh kumpul.
Kenapa kita kena kumpul pahala? Tuan-tuan, kita kat dunia ni guna duit untuk hidup. Esok di akhirat, pahala inilah yang kita nak guna di hadapan Allah swt. Sebab itulah, dunia ini tempat untuk kita mengumpul sebanyak mungkin pahala, bekalan, dan amalan untuk dibawa mengadap Allah swt di akhirat.
Ingatlah Allah menciptakan lidah tujuan nombor satu untuk kita berzikir kepada Allah. Sepatutnya lidah yang Allah kurniakan ini kita gunakan untuk membaca kalam-Nya iaitu al Quran dan juga untuk berzikir memuji Allah.
Kita kalau orang bagi kita sesuatu barang, kita mesti guna barang itu sebaik mungkin sesuai dengan tujuan pemberian orang tersebut. Kita tak berani nak buat yang bukan-bukan, sebab kita tahu itu bukan barang kita. Begitu jugalah anggota tubuh badan kita ini semuanya pemberian daripada Allah, oleh itu sewajarnya kita menggunakan pinjaman ini mengikut kehendak Pencipta-Nya.
al quran ialah mukjizat agung
Al Quran merupakan mukjizat dari setiap sudut. Dari segi susunan ayat dia mukjizat, dari segi merawat dia mukjizat, dari segi intonasi pun mukjizat. Dan kita lihat betapa ramai umat manusia yang jauh dari Allah, satu hari dia baca satu ayat al Quran dan dia baca terjemahannya sekali, tiba-tiba membuatkan dia kembali kepada pencipta-Nya, tiba-tiba dia menjadi insaf dan balik ke pangkal jalan iaitu kepada agama Allah SWT. Subhanallah, hebatnya al-Quran apabila dihayati sungguh-sungguh.
Inilah fungsi al Quran kepada manusia sebagaimana Allah swt gambarkan, yang mana ianya memberi petunjuk ke jalan yang benar untuk kehidupan dunia dan akhirat.
Firman Allah swt dalam surah al Isra’ ayat 9:
إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
Maksudnya :“Sesungguhnya al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang melakukan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pahala yang besar.”
Kesimpulannya, rebutlah gudang pahala sebanyak-banyaknya dengan membaca al Quran. Kerana inilah antara salah satu amalan yang mesti kita perbanyakkan semasa hidup di dunia ini sebelum kita balik bertemu dengan Allah swt.
Seminar CepatPandaiQuran.com secara PERCUMA setiap bulan.
DAFTAR di website »»» cepatpandaiquran.com
Discussion about this post