Kejayaan pasukan negara mencipta sejarah muncul juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Satu pada Mei lepas serta prestasi menakjubkan pasukan tujuh sebelah kebangsaan yang berjaya menduduki ranking kelima terbaik Asia nyata memberi harapan baharu buat sukan ragbi di Malaysia.

Pencapaian tersebut menyaksikan prestasi pasukan ragbi negara kini berada pada tahap terbaik dan usaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang merupakan misi utama Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya telah mengambil pelbagai pendekatan dalam usaha memajukan sukan ragbi di Malaysia khususnya pasukan ragbi kebangsaan.

Beliau berkata antara pendekatan yang diambil adalah dengan mewujudkan sebuah unit prestasi tinggi selain melantik penasihat teknikal dari New Zealand bagi memantau perkembangan tersebut.

"Kita telah mewujudkan satu unit prestasi tinggi yang diberi tugasan untuk melihat bagaimana kita boleh mempertingkatkan kualiti pasukan kita bukan hanya pasukan 15 sebelah kita, malah tujuh sebelah dan pasukan wanita.

"Selain itu kita juga telah mengambil pendekatan membawa beberapa penasihat teknikal antaranya bekas pemain All Blacks, Brad Mika untuk pasukan 15 sebelah kita," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir Kejohanan Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) Bawah 19 Tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan satu 'pathway' buat pemain ragbi melalui Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) yang akan bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

"Program ini akan bermula pada awal tahun depan dengan mewujudkan sekurang-kurangnya lima buah sekolah di setiap negeri iaitu sepasang sekolah rendah dan menengah yang belum pernah bermain ragbi, sepasang yang pernah bermain ragbi dan satu sekolah berprestasi tinggi.

"Tujuan sepasang sekolah tersebut adalah kerana kita mahu mereka bermula seawal lima tahun menerusi program prasekolah selain itu, kita juga tidak mahu perjalanan ragbi mereka terhenti sekiranya tiada sekolah menengah yang mempunyai sukan ragbi," katanya.

-- BERNAMA