Zuraidin tarik diri tanding Presiden PSM


KOTA BHARU— Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) Zuraidin Abdullah menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) diadakan Sabtu ini.


Selain jawatan presiden, Zuraidin berkata beliau juga memutuskan untuk tidak bertanding bagi mengisi mana-mana jawatan pada mesyuarat berkenaan.

"Saya ingin memaklumkan dan membuat keputusan tidak bertanding untuk merebut jawatan presiden PSM pada AGM Sabtu ini.

"Keputusan ini adalah bagi memberi laluan kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) Datuk Mohd Sumali Reduan untuk menerajui PSM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraidin berkata keputusan menarik diri dibuat dengan mengambil kira semua perkara serta pandangan selain percaya dengan kewibawaan dan pengalaman Mohd Sumali untuk mentadbir badan itu dengan baik.

Zuraidin berkata GASTAK  telah memutuskan untuk menyokong PSM bagi menangani segala isu sehingga persatuan itu dapat diterima semula oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

"Dengan keputusan ini juga saya akan memberi tumpuan lebih kepada GASTAK serta pembangunan sepak takraw di Kelantan," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post