top of page

Proton City perlu setaraf dengan Bandar Toyota di Jepun – Saarani


Proton City
Proton City

TAIPING – Kerajaan negeri Perak meminta Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) agar merealisasikan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Proton City setaraf dengan pembangunan Bandar Toyota di Jepun menjelang 2027 nanti.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasrat kerajaan negeri itu perlu direalisasikan oleh MDTM yang merupakan antara pihak bertanggungjawab dalam pembangunan Proton City.


“Ribuan orang akan datang ke Tanjung Malim, bermakna adanya keperluan majlis perbandaran untuk berikan perkhidmatan yang setaraf kepada Proton City.


“Kalau kita pergi ke Jepun, mereka ada Bandar Toyota. Jadi kita harap itulah yang akan jadi di Tanjung Malim,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri Keempat di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTECH) di Taiping hari ini.


Pada masa sama, Saarani berkata, banyak jabatan dan agensi kerajaan akan terbabit dalam menjayakan hasrat itu dan beliau berharap adanya integrasi antara pihak-pihak berkenaan.


Katanya, setakat hari ini, seramai 3,000 orang pekerja Proton sudah berpindah dari Shah Alam ke Tanjung Malim dan angka itu akan bertambah kepada 10,000 pekerja menjelang 2027.


“Kita jangka seramai 50,000 orang membabitkan pekerja Proton dan ahli keluarga mereka berpindah ke bandar ini, jadi kita kena segera buat projek kawasan perumahan baharu di kawasan itu.


“Dalam masa yang sama, keperluan untuk membina lebih banyak sekolah juga perlu diadakan untuk menampung anak-anak pekerja Proton yang akan berpindah ke Proton City itu nanti,” katanya.


Sumber: Kosmo!

bottom of page