fbpx

K2

Cakoi cita rasa Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAKOI pandan Hatyai dicecah menggunakan kaya pandan yang enak.

SAAT pertama kali menjamah penganan kecil berbentuk bintang empat bucu yang dicecah bersama kuah kaya pandan, hati wanita berusia 45 tahun itu terus terpaut dengan keenakan rasanya.

Adlina Ariffin berasakan sajian cakoi pandan Hatyai yang dibeli di sebuah gerai di Jalan Timur, Jinjang Utara, Kuala Lumpur itu ada keunikan tersendiri.

Keunikan cakoi berwarna perang keemasan tersebut terletak pada tekstur tepungnya yang halus serta keenakan pencecahnya iaitu kaya pandan berwarna hijau muda.

Ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu, cakoi berkenaan cukup enak dijamah pada waktu petang bersama secawan kopi atau teh panas.

“Saya sangat teruja dapat mencuba cakoi pandan Hatyai ini buat pertama kali. Saya mengetahui kewujudan gerai menjual kuih ini menerusi media sosial.

“Rasanya sangat enak terutamanya kuah kaya pandan yang berlemak dan tidak terlalu manis,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Cakoi adalah salah satu masakan masyarakat Cina dan turut popular di beberapa negara sekitar Asia Timur dan Asia Tenggara. Kebiasaannya, ia dimakan ketika sarapan bersama bubur nasi, kanji atau air kacang soya.

Cakoi pandan Hatyai atau dikenali sebagai patongkoh adalah sejenis kuih yang cukup popular dalam kalangan masyarakat dan pelancong di Thailand terutamanya Hatyai.

KEENAKAN rasanya, cakoi pandan Hatyai mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai di sekitar Lembah Klang.

Adlina yang bekerja sebagai pembantu hotel di ibu kota berkata, cakoi pandan Hatyai berbeza sama sekali dengan cakoi yang sering dijamahnya sebelum ini.

“Sebagai penggemar cakoi, perbezaan paling ketara adalah pada saiz dan pencecahnya. Cakoi tempatan berbentuk lonjong dan dicecah dengan kuah kacang cair.

“Cakoi pandan Hatyai pula berbentuk kecil-kecil dan dicecah bersama kuah kaya pandan yang agak manis,” terangnya.

Gerai Cakoi pandan Hatyai di Jinjang Utara merupakan satu-satunya tempat untuk mendapatkan hidangan itu di Lembah Klang.

Gerai yang mula beroperasi sejak Mei lalu itu diusahakan seorang anak muda tempatan, Muhammad Kamil Hassan dengan dibantu lapan orang pekerja.

Pemuda berasal dari Baling, Kedah itu memaklumkan, cakoi pandan Hatyai yang dijual digerainya menggunakan resipi asli dari Hatyai, Thailand.

Katanya, resepi berkenaan diperoleh daripada seorang rakan di Hatyai sewaktu dia bekerja sebagai ejen pelancongan di wilayah berkenaan.

“Salah satu hidangan kegemaran saya setiap kali masuk ke Thailand dahulu adalah cakoinya disebabkan keenakan rasa, selain pilihan kuah yang pelbagai.

“Disebabkan itu, terlintas dalam fikiran untuk cuba membawa sajian enak ini masuk ke dalam negara dengan menuntut resipinya daripada seorang kenalan di sana,” jelasnya.

Selepas berjaya memahirkan diri, Muhammad Kamil memulakan perniagaan cakoi pandan Hatyai secara kecil-kecilan dengan membuka gerai di pekan Baling pada tahun lalu.

CAKOI pandan Hatyai mempunyai saiz lebih kecil berbanding cakoi yang dijual di negara ini.

Bagi mengekalkan keaslian cakoi pandan Hatyai, dia mengimport sebahagian besar bahan-bahan asas yang digunakan dalam pembuatan sajian tersebut dari Thailand.

“Saya akan masuk ke Thailand untuk membeli pati kaya pandan dan serbuk amonia. Pati kaya pandan membantu menghasilkan kuah yang sedap, manakala serbuk amonia pula menjadikan teksturnya lebih lembut.

“Kedua-dua bahan asas ini adalah faktor yang menjadikan cakoi pandan Hatyai lebih sedap berbanding cakoi sedia ada. Biasanya saya beli dalam kuantiti besar untuk stok selama tiga bulan,” jelasnya.

Mengulas mengenai proses membuat cakoi berkenaan, Muhammad Kamil memberitahu, ia bermula dengan menguli tepung menggunakan bahan-bahan seperti tepung gandum, serbuk amonia dan telur sebelum digoreng sehingga berwarna keemasan.

Terangnya, kuah kaya pandan dihasilkan menggunakan campuran pati kaya pandan dengan susu cair.

Disebabkan sambutan menggalakkan di Baling, Muhammad Kamil meluaskan cawangan cakoi pandan Hatyai ke Bukit Beruntung, Selangor sebelum ditutup pada 18 Mac akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas pelaksanaan PKP dilonggarkan, Muhammad Kamil dipelawa seorang kenalan untuk membuka gerai di Jinjang Utara.

Disebabkan keenakan rasanya, gerai cakoi pandan Hatyai berkenaan telah mendapat perhatian daripada blogger, portal dan pelanggan yang menghebahkannya di media sosial.

“Saya tidak sangka sama sekali cakoi ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan bukan sahaja dari kawasan sekitar, malah luar Lembah Klang.

“Selepas viral, pelanggan terpaksa beratur sejauh 100 meter dan menunggu selama hampir dua jam sebelum memperoleh cakoi,” ceritanya.

ADUNAN tepung merupakan bahan utama bagi menghasilkan cakoi yang lembut.

Kini, Muhammad Kamil boleh berbangga apabila purata jualan cakoi pandan Hatyai di gerai mencecah 54 kilogram tepung sehari iaitu kira-kira lapan tong bersaiz 25 liter.

Hasil kejayaan tersebut, Muhammad Kamil berhasrat memperbanyakkan cawangan cakoi pandan Hatyai menerusi trak makanan atau pembukaan kios di kawasan strategik seperti di hadapan Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, salah seorang pekerja gerai itu, Mohammad Azwan Ahmad, 28, memaklumkan, kebanyakan pelanggan terdiri daripada mereka yang pertama kali ingin merasai kesedapan cakoi itu.

“Ada juga pelanggan yang datang ke sini sebab pernah merasai cakoi ini ketika bercuti di Thailand,” jelasnya.

Cakoi pandan Hatyai dijual pada harga RM3 bagi 10 biji, manakala RM5 bagi 20 biji.

Bagi setiap 10 biji cakoi akan disertakan dengan satu bekas kuah kaya pandan. Bagaimanapun, pelanggan boleh menambah kuah kaya pandan dengan harga RM1 sebekas.

Mohammad Azwan menjelaskan, para pelanggan boleh memilih untuk makan di meja makan disediakan atau membungkus cakoi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI