fbpx

Lindungi remaja hamil luar nikah, Eisya pernah kena tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IESYA TOH

PETALING JAYA – Sejak lebih setahun  mencurahkan keprihatinan membantu remaja perempuan yang hamil luar nikah, usahawan dan pengacara, Iesya Toh mendedahkan, ada dalam kalangan remaja terbabit cuma mahu menagih wang bahkan tergamak menghilangkan diri selepas bersalin serta segala bil hospital dilunaskan.

Begitupun, pemilik nama sebenar Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 37, berkata, kisah seumpama itu sekadar kes terpencil dan tidak memadamkan niatnya untuk terus menghulurkan bantuan kepada golongan sasaran.

“Sebenarnya dalam tempoh lebih setahun terbabit dalam aktiviti kebajikan ini saya dipertemukan dengan pelbagai ragam manusia walaupun pada ketika itu mereka dalam kesusahan.

“Ada gadishamil yang minta duit sebanyak RM250 seminggu, tak kurang juga yang datang maklumkan tiada sesiapa menolong hingga saya bagi sokongan sampai bersalin.

“Memang kami risau ada kes ibu menghilang bersama bayi selepas semua urusan hospital dilangsaikan, apatah mereka tiada tempat untuk bergantung.

“Tetapi saya anggap semua ini sebagai dugaan kecil tambahan pula di luar sana ramai lagi gadis hamil luar nikah yang benar-benar terdesak dan perlukan sokongan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sepanjang menjalankan kerja kebajikan, sudah lebih 20 remaja yang hamil luar nikah berjaya dibantu oleh bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia itu.

Biarpun pada awalnya timbul rasa kurang senang dalam kalangan segelintir pihak, usaha Eisya yang turut bergelar pelakon dan penyanyi itu mula membuka mata ramai.

Niatnya hanya mahu melindungi individu sasaran khususnya remaja daripada terjerumus ke kancah lebih dahsyat terutama membuang bayi atau melakukan perkara yang boleh memberi kemudaratan.

Akui ibu kepada dua cahaya mata itu, pengalaman semakin mematangkan diri sehingga dia menjadi lebih berhati-hati dalam menapis setiap panggilan atau mesej yang mengharapkan perlindungan dan bantuan.

“Sebelum ini pun ramai mengingatkan supaya jangan percaya kepada gadis yang berhadapan masalah sebegini dengan alasan mereka ‘budak nakal’.

“Sejujurnya saya tidak percaya malah yakin ramai lagi yang jujur tetapi kekhilafan membuatkan mereka terlanjur selain ada kes yang disebabkan penganiayaan.

“Jadi kita tak boleh pukul rata semua nakal atau cuba menipu. Sampai sekarang pun saya anggap mereka ini perlu dibantu, tolak tepi perasaan sangsi, sebaliknya tanamkan niat kita tolong dengan ikhlas.

“Sekarang saya cuma lebih berhati-hati. Kalau mereka nak kita jaga bayi, kita pastikan anak itu dijaga sebaiknya. Mereka yang mahu menjaga juga saya tapis dengan ketat,” katanya lagi.

Terkini, selepas setahun bergerak sendiri, inisiatif Eisya menarik perhatian pengarah juga penerbit terkenal, Erma Fatima untuk sama-sama menubuhkan rumah pelindungan bagi membantu golongan sasaran.

“Alhamdulillah kerana ramai yang memudahkan lagi urusan remaja yang tersalah langkah. Kalau sebelum ini ada saja rezeki untuk bayi mereka, kali ini Erma Fatima pula terpanggil untuk membantu.

“Erma mengambil inisiatif menubuhkan rumah yang boleh menampung gadis-gadis terbabit sementara menunggu saat melahirkan dan paling penting penghuninya menjalani aktiviti keagamaan serta riadah.

“Buat masa ini, rumah perlindungan tersebut baru dihuni beberapa orang saja sebab masih terlalu baharu. Doakan semoga semuanya berjalan lancar,” luahnya. – K ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI