fbpx

Motif bunga pada iklan tuala wanita cetus perdebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rekaan grafik motif bunga pada bungkusan produk tuala wanita yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

PETALING JAYA – Iklan kempen satu jenama tuala wanita yang mengetengahkan motif bunga dengan elemen berbentuk vulva iaitu bahagian kelamin wanita mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan pengguna media sosial baru-baru ini.

Biarpun Librese Malaysia selaku pengendali kempen telah menarik semula iklan tersebut dari platform media sosial mereka, isu berkenaan masih menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen sehingga hari ini.

Perkara itu mula dibangkitkan Majlis Wanita Islam Yadim (MAYA) yang menyifatkan kempen itu sebagai tidak menghormati wanita.

“Penyalahgunaan imej bahagian peribadi wanita dalam rekaan grafik iklan produk sanitari anda tidak menghormati wanita,” katanya dalam satu kenyataan.

Librese Malaysia dalam kenyataan maklum balas berkata, kempen itu bertujuan melawan stigma berkaitan faraj dan mendorong wanita untuk berasa yakin dengan tubuh mereka.

Katanya, kempen ‘Know Your V’ adalah sebahagian daripada kempen jangka panjang jenama itu untuk mendidik wanita mengenai alat kelamin mereka.

“Terima kasih banyak atas maklum balas anda yang sangat dihargai. Kami memahami kebimbangan anda dan kami telah menarik semula iklan tersebut dari pelbagai saluran.

“Bukan niat kami untuk menyinggung perasaan mana-mana wanita atau komuniti serta kami sentiasa menggalakkan semua wanita untuk menerima kewanitaan dan potensi penuh mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Pertubuhan UMMI atau Ultimate Modern Moms Initiatives melihat kempen tersebut tidak tepat untuk menggambarkan proses dan kesedaran haid dari sudut sains kerana proses haid lebih berkait rapat dengan organ dalaman iaitu rahim atau uterus.

“Dapat dilihat wanita dieksploitasi dengan memasarkan alat sulit secara terbuka pada bungkusan,” katanya.

Sementara itu, Muda Johor berpendapat iklan tuala wanita terbabit tiada kesalahan dari segi infografik dan gambar bunga pada bungkusan produk itu diambil dari bentuk bunga sinonim dengan wanita.

“Kempen tersebut perlu disambut baik oleh segenap masyarakat memandangkan tanpa sedar negara kita juga sedang mengalami ‘kemiskinan haid.

“Ketidakmampuan untuk membeli tuala wanita atau ‘kemiskinan haid’ mula disedari sebagai salah satu masalah yang melanda miskin bandar,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sesetengah netizen bersetuju bahawa rekaan imej iklan tersebut sebagai tidak wajar dan dianggap sensitif buat diri mereka.

“Pada saya banyak cara lagi untuk mencantikkan bungkusan dan menarik minat pembeli tanpa menonjolkn bentuk ‘V’ itu. Bagi sesetengah wanita tidak rasa apa-apa. Tapi bagi yang tidak selesa bila perkara simbolik kepada aurat dan aib ditonjolkan akan rasa sensitif,” ujar Epal Hijau.

“Saya fikir bila alat sulit dijadikan simbol iklan walaupun dalam bentuk lukisan menyalahi budaya timur,” ulas Ida Khamis II.

“Bukan masalah ‘V’. Mungkin kerana corak di tengah-tengah bunga itu,” komen Cheqnor.

Sesetengah individu pula melihat tiada perkara yang salah berkenaan kempen tersebut dan melihatnya hanya sekadar produk kegunaan harian biasa.

“Saya lelaki, tapi saya tidak terfikir motif bunga pada bungkusan itu sebagai lucah atau menghina wanita. Mengalahkan lelaki pulak imaginasinya,” kata Abu Mishkat.

“Kempen untuk kebersihan dan kesihatan diri terutamanya untuk wanita bekerja tidak perlu dijadikan isu. Faham-faham sudahlah. Kadang-kadang bapa atau abang kena ambil tahu dan terpaksa beli untuk anak atau adik perempuan mereka,” ujar Zma Man. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI