fbpx

Banyak isu cerai, Nabil muhasabah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABIL AHMAD

BERADA dalam industri hiburan yang ketika ini dibanjiri kes mahkamah dan perceraian golongan selebriti membuatkan Nabil Ahmad muhasabah diri mahu menjadi suami yang lebih bertanggungjawab terhadap keluarga.

Melayari bahtera rumah tangga lebih sedekad lamanya bukan satu tempoh yang singkat. Banyak dugaan mahupun cabaran harus dilalui untuk terus menggenggam bahagia yang diingini.

Hal itu yang diperakui Nabil Ahmad tatkala berkongsi mengenai resipi mengekalkan keharmonian rumah tangga bersama isteri tercinta, Nazirah Ayub.

NABIL dan keluarga bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri di Negeri Sembilan sebelum ke rumah keluarga Nazirah
di Klang, Selangor. – SADDAM YUSOFF

Isteri penyabar

Benarlah kata orang, sabar itu kunci kebahagiaan. Paling membahagiakan pelawak berusia 39 tahun itu, dia dikurniakan seorang isteri yang memiliki kesabaran tinggi, sekali gus menjadi kekuatan dalam rumah tangganya.

“Siapa yang tidak risau jika perkahwinan bermasalah, lebih-lebih lagi apabila melihat ramai kawan sekeliling diuji masalah rumah tangga.

“Saya sentiasa berdoa dan minta Allah SWT titipkan kesabaran yang tinggi dalam diri isteri saya. Alhamdulillah, tahap kesabarannya masih tinggi dengan saya sehingga hari ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Selain memiliki kesabaran menggunung, Nabil juga berterima kasih kepada isteri kerana menerima kekurangan yang ada pada dirinya sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Bagi bapa kepada tiga anak itu, sikap saling menerima kekurangan diri juga antara cara mereka mengekalkan keharmonian rumah tangga.

“Jika nak bandingkan saya dengan Nazirah, dia paling banyak menerima kekurangan diri selain menasihatkan saya dalam banyak hal.

“Bukan mudah untuk dapatkan pasangan sepertinya, saya anggap dia seperti satu rezeki yang Tuhan beri dalam hidup.

“Kalau dia tak sabar, memang mahkamahlah lokasi yang dia akan pergi,” jelas bekas peserta Raja Lawak itu.

Pada masa sama, Nabi tidak menafikan rumah tangganya turut melalui momen pasang surut, namun semua itu dijadikan asbab untuknya menjadi seorang suami lebih baik.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu tidak terlepas dilanda ujian oleh Tuhan sepanjang bergelar seorang suami.

Katanya, antara ujian yang hadir adalah dalam bentuk mesej yang diterima daripada wanita berstatus ibu tunggal dalam Instagram suatu ketika dahulu.

BERSEDERHANA, penyampai radio Era FM ini memberitahu persiapan hari rayanya pada tahun ini berkonsepkan ‘rahmah’ dan tidak berlebih-lebihan

Muhasabah diri

“Ada yang mengaku sebagai janda anak satu dan memerlukan bantuan selain sanggup menjadi isteri kedua.

“Individu itu kata boleh menjaga rumah dan keluarga, tetapi saya tak percaya dan berasakan semua gambar dan cerita itu hanya rekaan serta palsu.

“Itu semua dahulu, sebelum isteri ambil alih uruskan akaun media sosial saya. Sekarang semua itu bukan lagi urusan (kendali media sosial) saya, sudah selamat di situ,” seloroh pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad.

Jika ada individu lain yang berasa trauma atau takut, berita-berita perceraian selebriti yang membanjiri industri seni tanah air sebenarnya membuka mata hati Nabil untuk menjadi seorang suami lebih baik pada hari ini.

Pengacara program MeleTOP itu juga mengambil peluang untuk muhasabah diri dengan menilai semula segala kekurangan dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebagai seorang suami.

Baginya, semua perkara negatif yang berlaku perlu diambil sebagai iktibar untuk menjadi seorang yang suami lebih baik.

“Sekarang ini, saya kerap bertanya pada isteri sekiranya memerlukan sebarang bantuan atau perlu membawanya keluar untuk mengambil hati.

“Secara perlahan-lahan saya berubah menjadi seorang suami lebih baik.

“Kini saya beri 100 peratus perhatian kepada isteri.

“Semua perkara yang berlaku di sekeliling buat saya terfikir tentang tanggungjawab sebagai seorang suami,” jelasnya mengakhiri perbualan.

NABIL dan Aaron Aziz bergambar bersama Pengarah Eksekutif Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel selepas diumumkan sebagai duta Jakel untuk kempen Aidilfitri 2023.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI