fbpx

Bangsa Cina Sokong Palestin kerana isu kemanusiaan, bukan agama semata-mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada pengunjung yang menyertai demonstrasi aman Perhimpunan Solidariti Palestin 2023 yang diadakan di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman rejim Zionis perlu disokong masyarakat dunia antarabangsa kerana ia bukan isu keagamaan semata-mata, sebaliknya isu kemanusiaan.

Seorang peserta Perhimpunan Solidariti Palestin 2023, Darren Lai, 33, memberitahu, perkara itu adalah realiti sebenar yang tidak boleh disembunyikan oleh mana-mana pihak.

Ini kerana katanya, mangsa kekejaman rejim Zionis di Palestin bukan hanya melibatkan rakyat tempatan terdiri daripada masyarakat Islam tetapi juga Kristian.

“Walaupun saya berketurunan Cina, namun saya teguh menyokong perjuangan Palestin untuk mendapatkan sebuah negara berdaulat yang bebas daripada cengkaman penjajah.

“Ini kerana ia bukan soal agama sahaja tetapi soal kemanusiaan. Mangsa kekejaman rejim itu terdiri daripada kanak-kanak, wanita serta warga emas, itu perkara yang berlaku sejak bertahun-tahun lamanya.

“Jadi sepatutnya perjuangan masyarakat Palestin ini bukan hanya diletakkan di tangan orang Islam sahaja, sebaliknya semua masyarakat dunia antarabangsa,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri himpunan aman yang diadakan di Puteri Harbour, di sini hari ini.

Tambah bapa kepada seorang anak itu lagi, kehadirannya dalam program itu adalah untuk memberitahu sokongan moral kepada semua yang terkesan dengan kekejaman berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Ayahanda Johor, Muharam Baharom berkata, perhimpunan aman itu merupakan tanda solidariti mereka kepada saudara mara seagama di Palestin.

“Mereka telah ditindas bukan sahaja oleh rejim berkenaan, tetapi juga oleh negara-negara antarabangsa yang terus membisu dalam soal ini. Mujurlah Malaysia sejak dahulu hingga hari ini kekal menyokong perjuangan masyarakat Palestin,” jelasnya.

Sementara itu, program yang berlangsung secara aman selama kira-kira 30 minit itu dihadiri lebih daripada 200 orang ramai termasuklah bukan Melayu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI