Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Anak bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga penyanyi, NJWA Mahiaddin beranggapan dia bukanlah individu yang sesuai untuk berkecimpung dalam bidang politik seperti bapanya.

NJWA atau Najwa, berkata demikian ketika segelintir selebriti dilihat semakin bergiat aktif dalam bidang berkenaan hingga ada antara mereka yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri 2023 (PRN2023).

Justeru, Najwa, 37, bersyukur tiada mana-mana anggota keluarga yang memberi tekanan agar menukar bidang yang diminati.

“Saya tak reti (tak pandai) untuk berpolitik.

“Alhamdulillah, mereka tak pernah beri tekanan langsung kepada saya untuk masuk politik.

“Sebabnya, keluarga amat memahami minat saya,” katanya.

Menguatkan lagi kenyataan itu, kata Najwa, 37, keluarganya turut memberi sokongan penuh terhadap apa yang diceburi.

“Saya juga graduan sebuah universiti muzik. Jadi, mereka memang menyokong saya untuk aktif dalam bidang itu,” katanya.

Najwa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem Rahsia di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Penyanyi itu diberi kepercayaan untuk menulis dan menyanyikan runut bunyi (OST) filem bergenre seram itu yang berjudul Alunan Lara.

Untuk rekod, NJWA yang sebelum ini dikenali sebagai Najwa Mahiaddin bertindak menukar jenama komersialnya kerana ingin melakukan perubahan pada karier.

Mengulas ‘kehilangannya’ dari radar industri selama setahun, Najwa berkata, dia sebelum ini menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga terutama selepas melahirkan anak sewaktu perintah kawalan pergerakan lalu.

Menurutnya, selama dua tahun itulah dia juga tidak mempunyai keinginan untuk menyanyi.

“Saya sibuk menjadi ibu. Mungkin pembawakan bayi buatkan saya tak ada rasa nak menyanyi. Saya ada di sini (majlis) kerana filem Rahsia,” jelasnya.

Ujar Najwa, dia masih cuba mencari keseimbangan antara kehidupan peribadi dan karier sementelah bergelar ibu.

Justeru, harapan penyanyi itu, melalui OST Rahsia, karier seninya boleh kembali rancak pada tahun ini.

“Harapan saya, selepas ini, lebih banyak tawaran akan datang, insya-Allah. Sewaktu pandemik, memang 100 peratus fokus pada kehidupan peribadi.

“Tapi sekarang kena sibukkan diri kembali bekerja,” katanya.

Najwa mendirikan rumah tangga dengan Idris Koh Keng Hui pada 26 Mac 2015.

Lihat Komen
ADS