Sinar markisa Ah Tan

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MACHAP JAYA 10 April – Ketepikan sifat tamak, sebaliknya mementingkan tanaman yang subur dengan hasil tuaian berkualiti dan bebas daripada penggunaan bahan beracun menjadi fokus utama Tan Lee Siang, 57, pengusaha ladang buah-buahan seluas enam ekar di Bukit Bulat, di sini.

Katanya jika mahu dia boleh meraih keuntungan yang lebih besar, namun mengambil pengajaran selepas syarikat logistik diusahakan hampir gulung tikar akibat pandemik COVID-19 mematangkan cara dirinya berfikir dan mengambil pendekatan untuk berkongsi hasil ladang berbanding memandang wang semata-mata.

Lee Siang berkata, bertani menjadikan dirinya lebih tenang dan menganggap apa dilakukan ketika ini sebagai satu terapi terutamanya setiap kali menyelak daun pokok markisa.

“Akibat pandemik saya terpaksa beralih kepada bidang pertanian. Saya dan isteri ambil keputusan jual lima lori kami dan laburkan di ladang ini kerana ketika itu memang tidak ada ‘bisnes’.

“Sekarang ini saya ada 180 batang pokok kelapa matak, 200 pokok jambu lohan dan 11 barang markisa jenis Panama. Walaupun tidak banyak sebatang pokok markisa boleh menghasilkan 200 ke 300 biji buah setiap musim, lebih istimewa pembajaan dan kawalan serangga adalah cara tradisional serta organik.

“Hampas kelapa dikeringkan dan dibakar bersama sabut, cara ini baik untuk menghalau serangga daripada menyerang pokok markisa. Selepas ini saya bercadang untuk tambah lagi pokok markisa menjadi 30 batang,” katanya ketika ditemui.

markisa 6
POKOK markisa memerlukan penjagaan cukup rapi. Foto: MR. AZLI

Berkongsi pengalamannya Lee Siang berkata, pokok markisa tidak boleh ditanam dalam jumlah yang banyak kerana penjagaannya yang agak cerewet.

Jelasnya daun pokok tidak boleh terlalu redup atau akan menjejaskan saiz buah dan pertumbuhan, selain perlu peka dengan serangan kulat serta serangga perosak.

Meskipun tidak banyak, namun hasil jualan buah maskisa boleh mencecah hingga RM30 satu kilogram dianggap sebagai amat berbaloi.

“Dalam setahun, anggaran lebih kurang lima batang pokok markisa kalau dijaga elok saya mampu meraih jualan hingga RM12,000. Cuma saya hanya kekalkan kaedah tradisional dan kurangkan penggunaan baja kerana kosnya terlalu tinggi.

“Baja hanyalah semata-mata kompos daun kering, serat tebu, sisa tumbuhan dan habuk kayu yang diperam,” katanya.

markisa 3
HASIL tuaian buah markisa. Foto: MR. AZLI

Seorang individu yang berpendirian, tidak sombong dan mengamalkan konsep kongsi rezeki, Lee Siang tekad untuk terus berbakti kepad tanah.

“Biarlah untung tidak besar asalkan cukup untuk menampung keperluan keluarga. Saya seorang yang tidak boleh duduk tanpa berbuat apa-apa, mesti ada aktiviti seperti pertanian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2825
Kongsi :
Previous post Bangkai buaya rupanya..
Next post Promosi Bukit Batu Lebah tarik pelancong luar
Ubah saiz-+=