KEBAIKAN BERPUASA DI BULAN RAMADAN TERHADAP KESIHATAN

Ramadan merupakan bulan yang mulia bagi semua umat Islam. Kehadirannya sering dinanti-nanti kerana pada bulan ini ganjaran pahala berganda-ganda untuk setiap amalan termasuklah berpuasa sebulan di bulan Ramadan. Umat Islam di Malaysia berpuasa sekitar 13 jam sehari, iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

Berpuasa dari sudut kesihatan sememangnya memberi manfaat. Antara kebaikan berpuasa ini dari sudut kesihatan adalah seperti berikut:

  • Pengawalan penyakit tidak berjangkit

Berpuasa terbukti dapat mengurangkan rintangan insulin. Justeru ianya dapat menambah baik fungsi insulin supaya lebih peka dan berkesan dalam mengendalikan kandungan gula dalam darah. Ibadah berpuasa juga dapat mengurangkan bacaan tekanan darah. Menurut kajian, ibadah berpuasa dapat menurunkan tekanan darah sebanyak 3 hingga 7 mmHg dari bacaan asal secara berkesan, sama ada berserta penurunan berat badan atau pun tidak. Dari segi bacaan kolesterol, perbandingan untuk bacaan sebelum dan selepas berpuasa di bulan Ramadan mendapati bacaan total kolesterol dan lemak triglyceride menurun, manakala lemak yang baik didapati meningkat. Kesemua perubahan ini jelas mampu meningkatkan kawalan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol secara lebih berkesan.

  • Penurunan berat badan

Berpuasa didapati berkesan menurunkan berat badan. Bagi mereka yang berpuasa, kebarangkalian untuk menurunkan berat badan adalah sebanyak 1.5 kali ganda berbanding mereka yang tidak berpuasa. Penurunan ini lebih ketara bagi mereka yang mengalami masalah kegemukan dan berlebihan berat badan berbanding mereka yang sudah tersedia kurus.

  • Peningkatan tahap metabolisma badan

Pandangan bahawa puasa menyebabkan badan kurang membakar lemak adalah salah. Ini kerana kajian menunjukkan ibadah puasa yang disertakan dengan ibadah solat tarawih mampu meningkatkan tahap metabolisma badan sebanyak 2.1%. Penemuan ini sejajar dengan peningkatan jisim otot dan penurunan lemak di dalam badan.

  • Mengurangkan risiko kematian awal dan mencegah kanser

Kesan ini adalah secara tidak langsung. Ianya berkait rapat dengan kurangnya keradangan di dalam badan, pengurangan kecederaan sel dan penurunan sel-sel inflamasi. Ianya turut dibantu oleh pengurangan risiko rintangan insulin, penurunan tekanan darah, gula, kolesterol dan berat badan. Ini juga dapat mencegah kewujudan sel kanser dan meningkatkan kesembuhan pesakit yang mendapatkan rawatan kanser.

  • Mencegah nyanyuk

Kajian menunjukkan amalan berpuasa berserta amalan keagamaan yang lain seperti solat berjemaah dan membaca Al-Quran mampu mengurangkan risiko mendapat kemerosotan kognitif dan meningkatkan kualiti hidup. Berpuasa juga mampu meningkatkan pengaliran darah dan memperbaiki sistem saraf. Ini secara tidak langsung mengekalkan fungsi otak yang baik.

  • Kesihatan mental yang baik

Dengan berpuasa, perasaan kesyukuran dan berpuas hati meningkat. Ini secara tidak langsung mengekalkan mood dan emosi yang baik. Ini berkait rapat dengan penghasilan hormon-hormon gembira dan perubahan transmitter saraf yang dapat mengelakkan kemurungan dan kesedihan.

  • Mengurangkan risiko pedih ulu hati

Kajian menunjukkan mereka yang berpuasa dapat mengurangkan gejala gastro-esophageal reflux disease atau pedih ulu hati berbanding mereka yang tidak berpuasa. Ini kerana ketika berbuka puasa, masyarakat cenderung untuk berbuka pada awal waktu berbanding lewat malam. Selepas berbuka, mereka kemudiannya sibuk melakukan solat fardhu dan solat tarawih.

  • Meningkatkan kesuburan

Berpuasa terbukti mampu mencegah dan mengawal rintangan insulin berserta membantu penurunan berat badan di kalangan wanita yang mengalami masalah obesiti dan masalah penghasilan telur untuk persenyawaan (Polycystic Ovarian Syndrome). Di kalangan lelaki pula, berpuasa mampu meningkatkan penghasilan sperma bagi mereka yang mengalami masalah kekurangan jumlah sperma yang mencukupi di dalam air mani. Ini kesemuanya sedikit sebanyak mampu meningkatkan kesuburan di kalangan pasangan yang mengalami kesukaran mendapatkan zuriat.

Berdasarkan kepada kebaikan-kebaikan berpuasa tadi, terbukti bahawa berpuasa bukan sahaja merupakan satu amalan agama yang wajib, namun mempunyai pelbagai hikmah dan kesan yang baik terhadap kesihatan fizikal, emosi dan spiritual. Namun, bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, dapatkan nasihat pihak doktor terlebih dahulu untuk menilai risiko yang bakal dihadapi ketika berpuasa.

 

Selamat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut