suria

Anak kecil melecur hampir 50 peratus ketika main bunga api, ibu bapa sedang tengok TV dalam rumah

Kanak-kanak melecur ketika bermain bunga api. (Gambar hiasan, Freepik)

TRAGEDI hitam menimpa keluarga ini tatkala sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya tinggal lagi seminggu.

Insiden menyayat hati di Kampung Senara, Kubur Panjang, Kedah itu menyaksikan seorang kanak-kanak perempuan melecur sebahagian badan dipercayai disambar api ketika bermain bunga api dan mercun.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam Selasa itu menyebabkan mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi, 4, melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badan.

Polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada pihak Hospital Pendang pada pukul 2.45 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa serang kami?” - Macam perang! Rumah gadis dibaling mercun, batu sejak 1 Ramadan... dah 2 ahli keluarga cedera

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api dan mercun di hadapan rumah.

Memetik laporan Utusan, ibu bapa mangsa dikatakan berada di dalam rumah ketika kejadian dan sedang menonton televisyen.

“Tiba-tiba pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan jeritan mangsa dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” kata Arriz.

Ujarnya lagi, bapa mangsa yang bekerja kampung itu kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada badan anaknya itu sebelum mengejarkan mangsa ke Hospital Pendang.

“Kita masih menjalankan siasatan berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar selepas disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

“Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita merakam keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku,” jelasnya.

Tambahnya, pihak hospital setakat ini masih belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun.

“Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” katanya. - UTUSAN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain