suria

Perpisahan sementara beri rahmat pada Elyana dan kekasih

Elyana bakal bertunang pada 11 Julai ini
Elyana bakal bertunang pada 11 Julai ini
Elyana bakal bertunang pada 11 Julai ini

HUBUNGAN cinta yang terjalin selama lebih tiga tahun itu pernah dilanda badai. Bagi Elyana, dia sendiri tidak menyangka kasih yang hampir retak itu nampaknya masih utuh. Ternyata dugaan yang melanda itu berjaya menguatkan lagi cinta Elyana dengan jejaka berusia 34 tahun itu.

Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu ini akhirnya nekad untuk mengikat cinta mereka dengan tali pertunangan, sebelum diteruskan dengan pernikahan dalam masa setahun ini.

Elyana dan kekasihnya yang bertugas sebagai pengusaha sebuah restoran sushi itu akan bertunang pada 11 Julai depan di Jeumpa D'Ramo, Bangsar, beberapa hari selepas hari lahirnya yang ke-22, iaitu pada 5 Julai.

"Mungkin pada sesetengah orang, mereka merasakan umur saya ini agak awal untuk bertunang dan kemudiannya berkahwin. Tapi, sejujurnya, saya rasa saya sudah puas 'enjoy' sejak zaman sekolah...dan sekarang saya sudah mula berfikir untuk berkeluarga.

"Lagipun saya sudah mengenali kekasih saya ini lebih tiga tahun. Perkara ini bukan main-main dan saya rasa memang dia adalah orang yang tepat untuk saya hidup bersamanya kelak.

"Mungkin apa yang kami alami sebelum ini telah banyak menguatkan hubungan ini. Saya akui, hubungan kami pernah 'goyah', malah selama beberapa bulan juga kami 'berpisah' akibat perselisihan faham.

"Tetapi, dalam tempoh itu, saya tidak nafikan susah untuk kami ambil keputusan berpisah dan buat haluan masing-masing...kerana perasaan sayang itu masih menebal. Alhamdulillah, nampaknya kami masih dapat mempertahankan juga percintaan kami ini," kata Elyana yang masih ingin merahsiakan nama jejaka tersebut.

Menurutnya yang juga turut popular menerusi drama bersiri Dunia Baru dan Renjis ini, ibu bapa kedua-dua belah pihak juga sudah merestui hubungan itu.

"Ibu bapa saya juga gembira dengan keputusan kami. Memang mereka agak keberatan untuk 'lepaskan' saya bila berkahwin nanti, maklumlah sudah lama saya berada di bawah jagaan ibu bapa saya.

"Insya-Allah, saya harap tempoh pertunangan tidak lama. Kalau boleh biarlah dalam masa setahun saja dan terus berkahwin. Lagipun memang orang selalu cakap tak elok bertunang lama-lama," tuturnya yang mendapatkan khidmat Lynda Rahim dan Zery Zamry sempena majlis pertunangannya itu nanti.

Kata Elyana, dia yakin, walaupun dengan usia yang masih muda, dirinya sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai seorang isteri andai kata jodohnya untuk berkahwin tiba dalam tahun ini juga.

"Saya melihat perkara ini sebagai lumrah kehidupan. Tidak semua orang dapat rasakan apa yang saya rasa dan lalui sekarang. Apa yang boleh saya katakan, biarlah fasa baru hubungan ini nanti diberkati Allah," katanya.

Ditanya tentang perkembangan karier seninya pula, kata Elyana, buat masa ini, dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Katrina Kamilia yang akan disiarkan di Astro Prima pada bulan depan.

Ujarnya, drama tersebut amat menarik kerana menyaksikannya membawakan watak yang cukup berbeza berbanding watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

"Saya memegang watak sebagai seorang kakak yang kejam...suka mendera. Dia juga seorang penggoda. Sebelum ini memang saya tidak pernah bawakan karektor jahat seperti ini. Adik saya di dalam drama ini dilakonkan oleh artis baru, Mira Liana.

"Penggambaran drama ini baru saja tamat. Memang ada tawaran lain yang datang, tapi saya ingin berehat sekejap buat masa ini di samping cuba selesaikan urusan berkaitan pertunangan.

"Saya tidak nafikan, rezeki dalam bidang lakonan nampaknya memang semakin mencurah-curah. Tapi saya suka terima satu demi satu 'job' supaya tidak hilang fokus," kata Elyana yang sedang di dalam perancangan untuk menghasilkan album terbarunya tidak lama lagi.

Artikel Lain