suria

Lama menghilang, NJWA rupanya sudah bergelar ibu... tak minat sertai politik ikut jejak langkah bapa

Najwa mahu melihat dan merasakan sendiri perkembangan anak membesar.

TINDAKAN penyanyi NJWA memuat naik foto sedang mendukung seorang kanak-kanak perempuan di Instagram miliknya bulan lalu mencetus tanda tanya dalam kalangan peminat.

Mana tidaknya, langsung tiada perkhabaran NJWA atau Najwa Mahiaddin, 37, hamil atau bersalin membuatkan ramai membuat spekulasi penyanyi tersebut sudah bergelar ibu.

Menjelaskan perkara itu, NJWA memberitahu dia disahkan hamil ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan selamat melahirkan anak sulungnya itu pada 16 April 2021 yang diberi nama Kaleela.

Sejak bergelar ibu katanya, dia lebih banyak memberi fokus kepada keluarga apatah lagi ketika itu persembahan pentas tidak dibenarkan bagi mengekang penularan Covid-19.

najwa mahiaddin 4

NJWA lebih fokus menguruskan keluarga di rumah.

"Sebelum ini kita berdepan dengan Covid-19 dan rasanya satu perkara biasa kurang terlibat dengan mana-mana persembahan. Dalam tempoh itu juga saya hamil dan disebabkan itu fokus saya beralih kepada keluarga.

"Dalam tempoh hamil saya memang tidak suka menyanyi. Tidak tahu kenapa, tetapi itulah yang berlaku.

"Sekarang saya kembali aktif semula dalam bidang seni dan harap akan ada peluang untuk saya," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “It's cool tapi bukan saya yang buat!” - Ucapan bapa ‘Ke Sana Ke Sini’ jadi lagu, Najwa Mahiaddin kata rakyat Malaysia kreatif

ARTIKEL BERKAITAN: Reboot ‘Rahsia’ dapat sentuhan anak Othman Hafsham, temui penonton 10 Ogos

NJWA ditemui ketika malam gala tayangan filem Rahsia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.

Lama tidak muncul dengan lagu baharu, NJWA diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema filem tersebut yang berjudul Alunan Lara yang ditulis sendiri olehnya.

Berkongsi fasa baharu sebagai seorang ibu, NJWA berkata, dia lebih selesa menjaga Kaleela sendiri tanpa bantuan pengasuh.

Dalam tempoh hamil saya memang tidak suka menyanyi. Tidak tahu kenapa, tetapi itulah yang berlaku.

NAJWA MAHIADDIN

PENYANYI

"Dalam tempoh Perintah Kawal Pergerakan (PKP) fokus saya memang untuk keluarga di rumah termasuk menjaga anak. Saya tiada pembantu dan menguruskan rumah tangga sendiri.

"Anak saya masih kecil, jadi rasanya perlu ada ikatan yang kuat antara kami. Saya mahu melihat sendiri perkembangan anak membesar.

"Sekarang ini apabila sudah kembali aktif dan bekerja, saya masih cuba untuk cari keseimbangan supaya dapat menyusun jadual dengan baik," ujarnya.

Untuk rekod NJWA mendirikan rumah tangga dengan Idris Koh Keng Hui pada 26 Mac 2015.

najwa mahiaddin 3

NJWA diberi kepercayaan mencipta dan menyanyikan lagu runut bunyi filem Rahsia.

Sementara itu, NJWA berkata, dia tidak pernah terfikir untuk terjun ke dunia politik mengikut jejak langkah bapanya iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NJWA berkata, keluarganya juga amat memahami minat terhadap dunia seni dan tidak pernah memaksanya bertanding dalam sesi Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Saya memang tidak pandai berpolitik. Jiwa saya lebih ke arah bidang seni. Keluarga sangat memahami dan mereka menyokong kerjaya muzik saya.

"Malah mereka tidak pernah memaksa saya untuk cuba bidang politik. Mereka tahu minta saya lebih ke arah seni," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain