Menerapkan reka bentuk binaan bangunan berinspirasikan molekul air zam-zam, Hospital Al-Sultan Abdullah menjadi mercu tanda baharu Universiti Teknolgi MARA (UiTM) yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan kesihatan kepada hampir 1.5 juta rakyat di Selangor dan Perak Selatan.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenaan berangkat menyempurnakan perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah di Puncak Alam, pada 23 Julai 2022 yang lalu.
Turut berangkat DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenaan melawat tapak pameran hospital, perpustakaan dan Clinical Simulation Centre (CSC).
Seri Paduka Baginda yang juga selaku Canselor UiTM bertitah agar hospital tersebut dapat mencipta kaedah perubatan yang boleh menaikkan nama Hospital Al-Sultan Abdullah selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar pengurusan hospital menghasilkan kaedah perubatan atau vaksin sendiri dan bukan sekadar perkhidmatan yang ada ketika ini.
Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Hospital Al-Sultan Abdullah menjadi antara yang terbaik di negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.
Untuk rekod, Hospital Al-Sultan Abdullah sebelum ini dikenali sebagai Hospital UiTM Puncak Alam berkeluasan 18.4 hektar (46 ekar). Ia siap dibina pada tahun 2020 dan mula beroperasi pada 5 April 2021.
Sumber: Istana Negara & Selangor Royal Official
Hilang NIKMAT MELIHAT Selama 5 Hari, Gadis Ini Kongsi Derita Yang Dialami Gara-Gara Pakai CONTACT LENS!
Gara-gara terpikat dengan kepelbagaian rekaan dan warna kanta sentuh terkini, ada di kalangan wanita sanggup menggadaikan penglihatan. Lebih menyedihkan apabila kanta sentuh yang dibeli tidak menepati piawaian sekali gus mendedahkan pengguna kepada bermacam-macam komplikasi.
Jangan fikir perkara tersebut tidak pernah berlaku terhadap diri sendiri, bermakna anda bebas sepenuhnya daripada insiden berkenaan. Seperti yang berlaku kepada Nik Nur Adibah Athirah, dia sama sekali tidak menyangka peristiwa hitam yang dialami lima hari lalu boleh terjadi kepada dirinya. Perkongsian gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini menerusi akaun Facebooknya semalam ternyata wajar dijadikan iktibar buat semua.
=========================
Sebelum ni baca kisah orang, kali ni terkena kat diri sendiri. Awal 2018 yang agak menyedihkan.
29/12/17 – pakai lens, dalam 2-3 jam lepas tu tiba-tiba rasa sakit. Tapi tak dapat nak buang lagi sebab ada kat luar. Sampai rumah lebih kurang pukul 8, buang lens tu dan mata dah jadi kabur. Mula-mula tu ingat biasa, mungkin lepas tidur nanti jadi okey balik.
30/12/2017 – Nak pergi kerja mata kabur lagi. Pakai cermin mata pun kabur lagi. Lebih kurang tengah hari, mata sebelah kanan rasa tak selesa dan sakit. Macam ada benda asing masuk dalam mata. Check tengok dan basuh dengan air. Tapi takda apa-apa. Mata sakit lagi dan jadi berair. Mata sebelah kanan tak dapat nak buka macam biasa, boleh buka sikit dan akan berair sakit balik. Petang tu call ma, datang ambik kat tempat kerja sebab tak dapat nak balik sendri. Mata kabur + sakit tak dapat nak buka.
Malam tu, mata jadi lagi sakit kena banyak tutup mata. Azabnya rasa sampai nangis sebab sakit dan tak dapat nak tengok apa-apa. Mata tak boleh kena cahaya atau benda yang silau macam skrin handphone & TV . Titis eyemo pun tak jadi.
31/12/2017- Pergi klinik, masukkan ubat dalam mata dan nampak ada kesan garisan tercalar. Lepas tu buat vision test. Banyak huruf yang tak nampak, penglihatan dah kabur. Masa ni memang tak boleh kena cahaya langsung, jalan sambil tutup mata dan pimpin tangan ma. Tak dapat nak tengok apa-apa. Boleh buka mata kejap-kejap jadi sakit dan berair. Kalau kena cahaya, mata jadi sakit hingga ke kepala. Doktor di klinik buat surat dan suruh refer ke bahagian kecemasan di hospital. Pergi ke bahagian kecemasan, doktor check dan nak pergi ke bahagian pakar tapi masa tu dah lewat doktor pakar dah takda. Dan doktor di bahagian kecemasan minta refer sy ke doktor di wad Oftamotologi. Doktor kat situ check dan titiskan ubat. Nampak ada kesan luka di kornea mata. Luka kat mata kanan dan kiri. Tapi yang bahagian kanan lagi besar luka. Doktor bagi ubat titis dan krim untuk letak kat dalam mata. Dan esok kena datang lagi jumpa doktor mata.
1/1/2018 – mata sebelah kiri pun rasa sakit juga, dua-dua mata tak dapat nak buka lagi. Mata pedih, kabur, berair dan tak boleh kena cahaya lagi. Kat rumah semua lampu dalam rumah saya tutup. Pergi hospital, jalan pun tutup mata lagi nasib ada ma tolong pimpin. Doktor check mata, luka sebelah kanan dah makin kecil tapi tak pulih sepenuhnya lagi. Doktor pesan lepas titis ubat kena tutup dulu mata. Tak boleh banyak pergerakan mata sebab tisu-tisu akan tumbuh yang baru. Masa makan pun makan sambil pejam mata. Masa jalan pernah sampai terlanggar pintu.
2/1/2018 – mata masih lagi kabur dah boleh buka sikit-sikit, sakit dah kurang sikit tapi cahaya tak boleh kena lagi.
3/1/2018 – Mata dah makin ok , dah boleh kena cahaya tapi masih kabur sikit.
4/1/2018 – Ada appointment jumpa doktor. Untuk check mata dan bahagian saraf. Alhamdulillah semua ok. Cuma mata masih merah, doktor cakap nanti kesan merah akan hilang.
- Doktor pesan kalau boleh jangan pakai contact lenssebab cara jaganya susah & mata mudah terkena jangkitan kalau silap pakai.
- Jangan pakai contact lensyg sembarangan tanpa kelulusan, kalau nak pakai juga beli di kedai optimetrist dan dengan penjagaan yang betul tapi sebaiknya pakai cermin mata berbanding contact lens.
- Dah ramai yang kena macam ni dan boleh mengakibatkan terkena ulser mata danberkudis dalam mata.
- Sebelum ni saya dah pernah pakai contact lens, tapi tak selalu pakai. Pernah pakai yang beli di optimetrist dan di kedai-kedai Dan kali ni tak bernasib baik, beli di contact lensdi kedai biasa dan terkena macam ni .
- Kalau nak pakai contact lensuntuk saja-saja, lebih baik jangan kalau rasa sayangkan mata. Sakit bila hilang nikmat penglihatan.
=============================
Sumber: Facebook Nik Nur Adibah Athirah
Pengajarannya, jika tiada keperluan untuk pakai kanta sentuh adalah baik jika tidak memakainya. Namun sekiranya anda perlu untuk berbuat demikian, pastikan ia dijaga dengan rapi dan dibersihkan setiap hari. Paling utama, produk yang dipakai mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
Ingat, mata adalah anugerah tidak ternilai. Jadi hargailah sebaik-baiknya.
Jangan Cepat ‘Lepas Tangan’ Saat Mendidik Anak, 5 Teknik Ringkas Ini Buat IBU BAPA Rasa Lebih Tenang!
Menurut pakar perbuatan menengking, membentak atau menggunakan kata-kata kasar bukanlah sesuatu yang bijak dalam mendidik anak-anak. Salah satu sebab mengapa ibu bapa tidak dapat menahan emosi terhadap anak-anak ketika mereka berbuat salah ialah rasa takut. Ia membuatkan ibu bapa menengking atau memukul anak secara spontan.
Ditambah dengan beban stres dan bebanan di tempat kerja juga menjadi salah satu sebab ibu bapa tidak dapat menahan emosi pada anak. Berikut cara bagaimana menahan emosi saat anak berbuat salah:
ADAKAH ANDA BENAR-BENAR PERLU MARAH?
Ingat, tidak semua kenakalan anak perlu direspon dengan cara memarahi atau menghukum. Maka, anda akan lebih tenang ketika berhadapan dengan karenah anak.
KETIKA HENDAK MARAH SEGERA TENANGKAN DIRI
Pertama sekali, cara paling mudah ialah dengan menarik nafas sedalam dalamnya. Kemudian hembus dan ulang cara ini beberapa kali sehingga emosi anda lebih stabil. Kedua, jauhkan diri anda dari anak contohnya ke bilik tidur. Jika sudah merasa lebih tenang barulah anda mengajak anak berbual dan menasihatinya secara tegas agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.
CUBA MENGIRA
Contohnya, “Kemaskan barang mainan sekarang. Ibu kira sampai sepuluh. Kalau sampai sepuluh masih belum kemas kamu tidak boleh main mainan ini lagi. Satu, dua…” Kalau si anak masih belum mematuhi arahan anda cubalah untuk memberi peringatan lagi dengan sikap yang tegas tanpa menengking atau membentak anak.
ELAKKAN MEMUKUL
Perbuatan memukul akan mengajar anak-anak bahawa menyakiti orang lain itu diperbolehkan. Ini menyebabkan mereka percaya bahawa cara menyelesaikan masalah dengan menggunakan kekerasan. Kekerasan menjadikan anak hilangnya kepercayaan terhadap ibu bapa seterusnya menjadikan anak lebih nakal.
KENDALI CARA BERBUAL ANDA
Semakin tenang anda berkomunikasi dengan anak, semakin mudah untuk anda menahan emosi. Sebaliknya jika anda menggunakan kata-kata kesat atau makian, semakin naik amarah anda. Kendali cara komunikasi anda sebaik mungkin. Secara tidak langsung anak kian mengerti perilaku kesalahannya.
Walau Sibuk, Doktor Pakar Ini Curi Masa Jahit PPE, Demi Bantu Frontliners
Dalam situasi negara berhadapan wabak COVID-19 yang kini memasuki hari ke 22 Perintah Kawalan Pergerakan, petugas di barisan hadapan masih lagi bertungkus lumus memastikan wabak ini tidak terus merebak dan mengancam lebih banyak nyawa. Sekaligus, keperluan terhadap pakaian PPE juga adalah satu keperluan yang mendesak di kalangan petugas di barisan hadapan.
Menyedari keperluan membantu rakan setugas, beberapa doktor pakar dan kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (FPSK USIM) mengambil inisiatif menjahit PPE untuk dibekalkan kepada beberapa hospital yang telah dikenalpasti keperluan yang mendesak. Projek ini dibawah naungan Dekan Fakulti, Profesor Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.
Menurut Ketua Projek, Profesor Madya Dr Azlina Mokhtar, sasaran permulaan adalah sebanyak 200 helai PPE (iaitu gaun, tudung dan boots) untuk minggu pertama projek dijalankan.
“Kekangan ini disebabkan bahan mentah agak limited (kain non-woven, getah) dan kekangan masa memandangkan ahli pasukan merupakan pensyarah dan juga doktor pakar yang masih menjalankan kerja-kerja di klinik atau di hospital.
“Tambahan pula dikala perintah kawalan pergerakan ini membataskan perjalanan kami untuk mengedarkan kain untuk dijahit oleh orang lain. Sasaran kami untuk menyediakan 1000 helai untuk diagihkan bersama kepada :
1.Klinik Pakar Kesihatan USIM termasuk Pusat Hemodialysis USIM, Nilai
2.Hospital Ampang
3.Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh
4.Hospital Port Dickson dan juga beberapa klinik kesihatan dan pusat kesihatan daerah.
Menggelarkan Projek Cik Kiah PPE FPSK USIM, projek ini tercetus apabila sekumpulan kakitangan kesihatan amat terkesan dengan permasalahan kekurangan PPE di hospital dan di klinik-klinik memandangkan keperluan ini amat penting sebagai salah satu protection utk keselamatan kakitangan kesihatan.
“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menubuhkan unit menjahit ini memandangkan rasa tanggungjawab kami terhadap rakan-rakan kakitangan kesihatan yang memerlukan bantuan dari pelbagai segi. Dalam masa beberapa minit, pesanan ringkas kepada semua sahabat terdekat di FPSK dihantar dan mendapat balasan yang amat positif dan terus gerak kerja kami bermula dengan WA, alam maya terlebih dahulu.
Selain itu, mendengar keluhan rakan-rakan setugas yang tidak mempunyai bekalan PPE yang mencukupi, kami terus menghubungi pihak Hospital Ampang iaitu Hospital Pengajar USIM dan sangat berbesar hati dapat terus memulakan projek kami apabila pihak Hospital mempunyai bahan awal tetapi tidak mempunyai tenaga pekerja mencukupi untuk menjahit peralatan PPE. Ini terus membakar semangat kami untuk terus menggerakkan projek kami dalam masa 24 jam idea projek tercetus”, ujar Profesor Madya Azlina lagi.
Buat permulaan, sasaran permulaan sebanyak 200 helai PPE terdiri daripada gaun, tudung dan boots untuk minggu pertama projek dijalankan. Memandangkan terdapat kekangan bahan mentah dan masa agak suntuk (kebanyakan sukarelawan merupakan pensyarah dan doktor pakar yang masih menjalankan kerja kerja hakiki di klinik atau di hospital).
Pasukan doktor pakar ini juga sempat menitipkan nasihat untuk rakyat Malaysia agar kekal di rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini.
“Stay at home, let us stay at work. Sebagai petugas kesihatan, kami amat terkesan apabila rakan-rakan setugas khususnya yang terlibat secara langsung dalam perawatan masalah Covid-19 menanggung risiko yang tinggi apabila bertugas lebih-lebih lagi apabila stok PPE di hospital dan di klinik tidak mencukupi.
Kami amat berbesar hati dapat membantu rakan-rakan setugas di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya hospital Pengajar USIM yang selama ini banyak memberi bantuan kepada USIM dalam pengajaran pelajar perubatan USIM dan juga latihan doktor pakar USIM.
Kami turut melancarkan tabung bantuan barisan hadapan COVID-19 dan sehingga kini sambutan daripada rakan-rakan dan juga orang ramai sangat memberangsangkan dalam menyalurkan wang ringgit, bahan untuk PPE, sumbangan idea, masa dan juga tenaga”.
Sehingga kini, sebanyak 299 PPE telah diserahkan kepada pihak Hospital Ampang.
Terima kasih semua dan teruskan menyumbang untuk kebaikan semua. Semoga kita semua beroleh manfaat dan usaha kita diberkati Allah swt. Bersama kita hapuskan Covid-19 InsyaAllah.