fbpx

Fizz Fairuz Korban 7 Ekor Lembu Simbolik Mahu 7 Orang Anak

Sempena Aidiladha tahun ini, pelakon Datuk Fizz Fairuz melakukan ibadah korban dengan menumbangkan tujuh ekor lembu.

Memetik Kosmo, Fizz berkata jumlah tujuh ekor lembu itu sebagai simbolik kepada hasratnya untuk menambah tiga lagi cahaya mata menjadi tujuh orang.

BACA: “Bila Masing-Masing Nak Tunjuk Hebat.. Inilah Makannya” – Fizz Fairuz

“Sembelih tujuh ekor lembu sebab saya mahu tujuh orang anak. Emak saya mempunyai sembilan orang anak, saya nak ‘lawan’ tetapi tidak larat pula. Jadi, cukuplah sekadar tujuh orang, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Fizz berkata sambutan hari raya Aidiladha tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu apatah lagi ibunya beraya bersama mereka.

“Untuk raya haji tahun ni, saya tidak balik kampung kerana mak saya ada di sini dan kami sekeluarga akan menyembelih tujuh ekor lembu di sini. Saya boleh katakan raya haji tahun ini adalah raya paling meriah,” katanya.

Dalam pada itu, Fizz berkongsikan erti korban dimana dia mengagumi pengorbanan isterinya iaitu Datin Almy Nadia yang banyak berkorban demi anak-anak mereka.

“Korban bagi saya ialah pengorbanan seorang ibu buat anak-anak. Ibu sanggup melakukan apa saja untuk anak-anak demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

“Jujurnya saya terharu melihat apa yang dikorbankan selama ini. Kalau anda duduk serumah dengan saya, anda boleh lihat bagaimana dia (isteri) berkorban setiap hari. Banyaklah pengorbanan yang dilakukan,” katanya.

Fizz dan Almy mendirikan rumah tangga pada 26 April 2004. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata Afrina Arianna, 7, Afrina Aurora, 5, Afrina Ayra, 4 dan Nur Afrina Aisyah, 2.